APMM Perak tahan MT SAIQ
LUMUT - Sebuah kapal dagang MT SAIQ ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak kerana didapati bersauh tanpa kebenaran pihak berkuasa sekitar jam 9 pagi semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kapal dagang dagang tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika dari selatan Pulau Jarak.
"Kapal terbabit sedang bersauh ketika ditahan oleh Kapal Maritim MARLIN dan hasil pemeriksaan kita mendapati mereka telah bersauh sejak 16 Mei lalu.
"Mereka juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, seramai 25 orang kru termasuk kepten kapal terdiri daripada warganegara Pakistan, India, Rusia, Oman dan Montenegro yang berusia antara 20 hingga 65 tahun turut ditahan APMM.
"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya.
Menurut Wan Mat, disamping memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di persisir pantai, APMM Perak juga sentiasa memberi fokus membabitkan salah laku di perairan Pulau Jarak.
"APMM Perak akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin dan mematuhi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!