Johor harap projek RTS diteruskan
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor berharap agar pembinaan projek Sistem Rapid Transit (RTS) dapat diteruskan.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, projek RTS akan memberi manfaat kepada rakyat Johor terutama kepada mereka yang bekerja di Singapura.
"Harapan kami di Johor, jika boleh projek itu (RTS) dapat diteruskan.
"Ini disebabkan memang ramai rakyat Johor yang setiap hari bekerja di Singapura," katanya diminta reaksi berhubung Malaysia dan Singapura yang menandatangani satu perjanjian tambahan untuk menggantung projek RTS sehingga September ini.
Beliau berkata, sekiranya ia memerlukan jambatan lagi, jawapan terbaik adalah meneruskan RTS.
"RTS ada, jambatan pun ada," ujarnya.
Terdahulu, Sahruddin hadir menyempurnakan Majlis Sumbangan Raya Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: RTS: Malaysia, Singapura meterai perjanjian tambahan gantung pembinaan projek
Malaysia dan Singapura hari ini secara rasmi menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menggantung pembinaan projek RTS sehingga 30 September tahun ini.
Menurut Anthony, Malaysia akan membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai ini sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat daripada penggantungan selama enam bulan.
Anthony dan rakan sejawatannya dari Singapura Khaw Boon Wan memeterai perjanjian tersebut untuk mengumumkan penggantungan itu di Kementerian Pengangkutan Singapura.
Perjanjian dua hala mengenai Laluan RTS itu telah ditandatangani pada Januari tahun lepas semasa pentadbiran kerajaan BN.
Menurutnya, di bawah perjanjian asal tambang bagi perjalanan sehala ditetapkan sebanyak RM15 ia akan membebankan rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.
Pembinaan projek itu pada awalnya dijadualkan tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024 bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang-alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.
Projek Laluan RTS merangkumi landasan sepanjang 4 kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar (Johor Baru) dan Woodlands (Singapore), dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!