Ciri-ciri kawan yang anda perlu jauhi
SAHABAT yang baik umpama lilin, sanggup membakar diri sendiri demi menerangi kehidupan orang lain. Namun awas, berhati-hati dalam memilih kawan, jika tersalah pilih buruk padahnya.
Kawan yang baik akan membawa anda ke syurga, sebaliknya yang kurang baik akan membawa anda ke dunia kehancuran.
Kali ini Femina kongsinya ciri-ciri kawan yang anda perlu jauhi. Ingat, tak rugi pun jika anda tidak berkawan dengannya.
1) Iri hati
Dia seorang yang dengki dan tidak boleh tengok anda lebih daripadanya sama ada dari segi harta benda dan sebagainya. Dia akan berusaha supaya dia nampak 'lebih' daripada anda contohnya bila anda pakai gelang emas baharu. Tidak lama kemudian dia juga akan membeli gelang emas yang lebih besar berbanding anda.
2) Selalu mencari kesalahan rakan sendiri
Rakan 'palsu' akan selalu mencari kesilapan dan cuba menyaingi anda dalam semua perkara. Kenapa? sebab dia merasakan dirinya sahaja yang betul dan tepat dari segi perbuatan, percakapan dan sebagainya.
3) Ego
Seorang kawan palsu sentiasa menunjukkan ego yang tinggi dan dia tidak akan sekali-kali mengalah. Walaupun menyedari kesilapannya, dia tidak akan meminta maaf atau mengaku silapnya sendiri.
Malah dia akan tetap mempertahankannya.
4) Menghilangkan diri saat diperlukan
Seboleh-bolehnya dia akan mengelakkan diri daripada membantu anda. Pelbagai alasan akan diberi. Mungkin sekali boleh diterima tetapi jika berpuluh kali, abaikan sahabat demikian.
5) Berbohong
Kawan jenis ini kerap berbohong untuk menutup kekurangan dirinya. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengaku kalah. Bila bercerita dia punya segala-galanya dari segi kekayaan, kecantikan dan lain-lain.
6) Suka menunjuk kelebihan sendiri
Dia gemar berlebih-lebihan dan menunjuk-nunjuk apa yang dimilikinya untuk mendapat perhatian anda. Bahkan dia akan berbohong untuk menyenangkan hati anda.
7) Pengkhianat
Ciri ini paling berbahaya kerana dia jenis bermuka-muka. Elakkan berkongsi segala masalah peribadi kepadanya, kawan jenis ini akan bercerita keburukan anda kepada orang lain dan begitu juga sebaliknya.
Dia juga bukan seorang yang jujur dan boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia. Hati-hati ya!
#Jadi, jangan terlalu percaya kepada kawan anda yang mempunyai ciri-ciri ini ya. Nanti anda sendiri yang sakit hati!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!