Semua peniaga kena pindah sementara: Khalid Samad

Peniaga Bazar Melayu Moden Jalan Masjid India akan dipindahkan sementara ke lokasi yang akan ditetapkan atas faktor keselamatan. Gambar kecil: Khalid
Peniaga Bazar Melayu Moden Jalan Masjid India akan dipindahkan sementara ke lokasi yang akan ditetapkan atas faktor keselamatan. Gambar kecil: Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua peniaga Bazar Melayu Moden Jalan Masjid India akan dipindahkan sementara ke lokasi yang akan ditetapkan atas faktor keselamatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, meskipun terdapat lot yang tidak terlibat dengan kejadian kebakaran itu, keselamatan peniaga dan pengunjung perlu diutamakan kerana kebakaran berkenaan telah menjejaskan struktur utama tempat perniagaan itu.

Menurutnya, pemindahan akan dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kadar segera.

"Disebabkan semua peniaga duduk bawah satu struktur, dan berlaku kebakaran, kita tak tahu selamat atau tidak. Jadi untuk elakkan risiko semua perlu pindah sementara.

"DBKL juga merancang memindahkan mereka ke tapak kekal bawah projek River of Life (RoL) namun ia masih dalam pelaksanaan," katanya ditemui selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Khalid berkata, operasi perniagaan di situ adalah tidak sesuai memandangkan ia tidak memenuhi peraturan ditetapkan namun dibenarkan untuk diteruskan sementara pemindahan kekal.

"Ini bukan merupakan tempat perniagaan yang terbaik kerana tiada kelulusan bomba dan sebagainya. Bila berlaku begini, kita kena ambil tindakan untuk memperbaiki keadaan memastikan ia lebih baik dan lebih selamat," katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan pihaknya akan melaksanakan satu program khas untuk menyampaikan sumbangan kepada peniaga terjejas pada Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

"Dianggarkan sumbangan yang akan diterima adalah antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang bagaimanapun jumlah itu belum dimuktamadkan lagi. Ia bagi mengurangkan beban kerugian yang mereka tanggung," katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan turut melakukan lawatan ke lokasi kejadian dan DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan DBKL bercadang pemindahan peniaga-peniaga terlibat ke Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) 3 dan 5.

Bagaimanapun ia bergantung kepada persetujuan majoriti dan hanya peniaga warganegara yang layak.

Operasi perniagaan di situ juga tidak dibenarkan selagi belum selesai siasatan pihak bomba dan pembaikan oleh DBKL.

Dalam kejadian jam 1.35 pagi tadi, sekurang-kurangnya 30 lot gerai musnah terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas.

ARTIKEL BERKAITAN 30 gerai di Jalan Masjid India musnah dalam kebakaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!