'Akhirnya dapat juga berbuka dengan martabak...'
KUANTAN - Benarlah kata orang, setiap yang berlaku pula pasti ada hikmahnya.
Jika semalam, tular kisah anak lima beranak ini yang kesempitan hidupnya membuatkan Nor Azuha Wan Muda, 35, tidak mampu menyediakan keperluan terbaik buat empat anaknya.
Namun hari ini, di atas keprihatinan Yayasan Negeri Pahang bersama Restoran Martabak Ferry telah berkunjung ke rumah Nor Azuha di Permatang Badak di sini, hari ini.
Paling gembira sudah pasti anak sulungnya Mohd Shukri Abdullah, 10.
"Saya tak sangka, akhirnya hari ini saya dapat berbuka dengan martabak.
"Dah lama saya nak makan... sejak dari Ramadan pertama," cerita anak kecil ini.
Tersentuh rasa hati melihatkan riak wajah Mohd Shukri yang terpancar apabila dapat menikmati makanan kegemarannya
"Lagi saya seronok sebab dapat makan martabak Ferry.
"Terima kasih kepada pihak yang sudi bagi makanan ini walaupun saya tahu sukar untuk ibu dapatkan untuk saya dan adik-adik," ujarnya.
Turut hadir ke rumah Nor Azuha adalah Penolong Pengurus Unit Capaian Komuniti Yayasan Pahang, Mohd Aminur Rahman Mohd Rashid, dan wakil pengedar martabak Jerantut Farry, Mohd Rashimi Mohamed.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Beli martabak pun kami tak mampu...
Sinar Harian semalam melaporkan Nor Azuha tersentuh hati setiap kali berbuka kerana gagal memenuhi permintaan anak sulungnya itu yang ingin makan martabak sebagai juadah berbuka puasa.
Ibu kepada empat anak ini mengakui setiap hari, mereka sekeluarga berbuka dengan nasi putih dan ikan masin begitu juga pada waktu bersahur.
Nor Azuha berkata dirinya bersyukur selepas beritanya tular di media sosial dan mendapat liputan meluas daripada media, ramai pihak yang menghulurkan bantuan demi meringankan beban hidupnya.
"Terima kasih kepada pihak yang telah menghulurkan bantuan kepada saya. Saya bersyukur akhirnya anak saya dapat berbuka puasa dengan juadah martabak.
"Dia memang suka makan martabak sejak dari kecil lagi dan dia kalau makan martabak... empat keping sekali dia boleh habiskan seorang," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rashimi berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai perkara itu setelah mendapat maklumat daripada Yayasan Pahang.
"Kita berikan lima keping martabak Ferry sejuk beku kepada keluarga ini supaya mereka dapat berbuka puasa dengan martabak tersebut dalam keadaan panas," katanya.
Sementara itu, Mohd Aminur berkata, pihak Yayasan Pahang akan melakukan kaji selidik mengenai latar belakang keluarga tersebut untuk memberi bantuan persekolahan sekiranya sesuai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!