Sambutan hangat World #QuranHour di SRI Al-Amin
KUALA TERENGGANU - Program World #QuranHour peringkat Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin, di sini mendapat sambutan hangat 262 murid sekolah itu hari ini.
Bertemakan Surah Al-Kahf, kesemua murid tahun satu hingga enam dibahagikan kepada 15 orang satu kumpulan, dengan bimbingan 25 guru al-Quran sekolah itu serta guru luar.
Guru Besarnya, Engku Zarinah Engku A Rahman berkata, program tersebut berlangsung selama sejam, bermula dari jam 7.40 pagi sehingga jam 8.40 pagi.
“Bersempena dengan sambutan World #QuranHour ini, kita mengagihkan surah untuk dibaca, yang mana murid tahun empat hingga enam akan membaca Surah Al-Kahf, sebagaimana tema yang kita tetapkan.
“Tetapi bagi murid tahun satu hingga tiga, mereka membaca surah-surah biasa memandangkan Surah Al-Kahf agak panjang untuk mereka. Sepanjang program ini, mereka dipantau oleh guru daripada segi bacaan dan tajwid,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya melaksanakan program itu lebih awal memandangkan sekolah akan bercuti panjang kerana cuti pertengahan tahun.
Tambahnya, bermula bulan lepas, pihaknya membuat Kem Hafazan al-Quran, disusuli World #QuranHour dan pada Khamis ini, pihaknya akan menjayakan majlis khatam al-Quran sempena Ramadan.
“SRI Al-Amin menyokong penuh pelaksanaan program ini dan mula menyertai #QuranHour sejak 2017. Setiap tahun temanya berubah, tahun ini bertemakan Al-Kahf sebab nak menggalakkan kita membaca surah berkenaan.
“Tema tahun ini memang sangat cantik, tambahan pula dibuat pada Ramadan. Kalau seluruh Malaysia boleh dan amalkan, ia adalah langkah permulaan yang sangat baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!