Mekanik warga Thai putus tangan ditetak di Kubang Pasu
ALOR SETAR - Akibat enggan mengubahsuai motosikal yang dipercayai untuk tujuan berlumba, seorang mekanik sambilan warga Thailand (Pattani) ditetak hingga putus bahagian pergelangan tangan kanannya oleh sekumpulan lelaki bertopeng di rumahnya di Kampung Changkat Setoi, dekat Changlun, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.00 malam ketika mekanik berusia 36 tahun bersama isterinya, 33 tahun serta dua anak berusia lapan dan 13 tahun, sedang berehat di dalam rumah.
“Rumahnya didatangi empat lelaki bermotosikal di mana tiga daripadanya memecah masuk rumah sebelum menetak mekanik berkenaan sehingga tangan kanannya terputus dan suspek kemudian membawa lari tangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Mangsa turut mengalami kecederaan lain pada anggota badan manakala tangan kiri isterinya turut cedera selepas bertindak menghalang tetakan suspek terhadapnya dan dua anaknya, sebelum salah seorang anaknya berjaya menolak suspek membolehkan mereka keluar menyelamatkan diri di kebun getah berdekatan," tambahnya.
Katanya, mangsa yang juga penoreh getah turut mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, selain cedera akibat tetakan di bahagian leher, pinggang dan pergelangan kaki kanannya.
Katanya, mekanik yang parah itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Mohd Ismail berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mekanik itu yang dikatakan enggan menolong meningkatkan kelajuan motosikalnya.
“Suspek juga sebelum ini sering datang ke rumah mangsa dalam keadaan tidak berpuas hati terhadap mekanik itu kerana tidak membantunya,” katanya.
Mohd Ismail berkata ketika kejadian kesemua suspek memakai sweater gelap, berseluar jeans biru dan memakai topeng muka serta bersenjatakan parang, dan menurutnya setakat ini polis berjaya menahan seorang daripada suspek.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!