Tiada kes jangkitan monkeypox di Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengesahkan tiada kes jangkitan monkeypox dikesan dan dilaporkan di negeri ini termasuklah Malaysia.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, berikutan itu, Jabatan Kesihatan Johor telah mengambil beberapa tindakan.

Menurutnya, ini termasuklah maklumat berkaitan dengan penyakit monkeypox ini telah diedarkan kepada semua anggota kesihatan termasuk di barisan hadapan untuk mengenal pasti awal kes disyaki sekiranya ada.

"Selain itu, aktiviti survelan telah ditingkatkan di semua pintu masuk di negeri ini terutamanya kepada mereka yang mempunyai sejarah melawat Negara Afrika (Nigeria).

"Semua kes yang disyaki perlu di rujuk ke hospital dengan segera. Semua kemudahan kesihatan telah diberi peringatan untuk isolasi dan merawat kes disyaki monkeypox.

"Anggota kesihatan telah diberi arahan untuk melaporkan segera jika terdapat kes yang disyaki penyakit monkeypox ke bilik gerakan Crisis Preparedness Response Center (CPRC) Johor," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khuzzan turut menasihatkan sesiapa yang ke negara endemik monkeypox hendaklah bersentuh dengan haiwan liar dan tidak memakan daging haiwan liar.

"Negara endemik monkeypox adalah Afrika tengah dan barat termasuk Republik Demokratik Congo, Republik Congo, Kamerun, Republik Afrika Tengah, Nigeria, Ivory Coast, Liberia, Sierra Leone, Gabon dan Sudan Selatan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk menjaga kebersihan tangan dengan mencuci menggunakan sabun dan air.

Terdahulu, pada 9 Mei lalu, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengesahkan satu kes monkeypox yang mana melibatkan pesakit warga Nigeria berusia 38 tahun yang tiba di Singapura untuk menghadiri satu bengkel pada 28 April lepas.

Pesakit tersebut telah mengalami simptom demam, sakit otot dan ruam pada dua hari kemudian dan telah dirujuk ke hospital Tan Tock Seng, Singapura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!