Ugut Ketua Polis Daerah: PH beri kerjasama, mahu siasatan telus
KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) Pahang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan seorang pemimpin bahagian salah sebuah parti komponennya mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut.
Pengerusinya Fuziah Salleh berkata, mereka mahu siasatan dijalankan dengan telus dan tanpa rasa takut atau pilih kasih kerana menghormati prisip keadilan dan undang-undang.
"Apa yang salah tetap salah. Kita tidak dikecualikan daripada undang-undang, apatah lagi sebagai seorang pemimpin, kita harus menjadi contoh kepada rakyat, jadi kami memberikan ruang secukupnya kepada polis untuk menyiasat.
"Saya mengingatkan semua pemimpin PH untuk menunjukkan contoh yang baik. Jangan rasa kita hebat atau besar kerana sikap sedemikian salah. Sentiasa merendah diri seperti pepatah ular menyusur akar tidak hilang bisanya," katanya.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian semasa ditemui di Majlis Tadarus al-Quran dan Iftar Jama'ie Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Pahang 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas laporan penahanan seorang pemimpin DAP berusia 53 tahun Ahad lepas, bagi membantu siasatan dakwaan mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku pada Khamis lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi DAP Jerantut ditahan
Suspek dikatakan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis Ibu Pejabat Daerah Jerantut merampas dan menahan rokok serta minuman keras tidak bercukai, yang dijual seorang lelaki yang juga memegang jawatan dalam parti.
Suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat proses rakaman percakapannya pada petang Ahad lalu.
Fuziah berkata mengetahui mengenai insiden itu pada malam Ahad, dan telah berhubung dengan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah untuk mendapatkan penjelasan.
"Kita minta beliau siasat apa yang berlaku dan mahu melihat apa tindakan seterusnya parti terlibat. Tapi saya akui perkara itu ada dibincangkan dalam PH Pahang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!