Tiada istilah Ramadan dalam hidup

Penghuni Pondok Remaja Inabah II diraikan warga UMT pada Program Jelajah Iftar Jamie.
Penghuni Pondok Remaja Inabah II diraikan warga UMT pada Program Jelajah Iftar Jamie.
A
A
A

KUALA NERUS - Akibat terjebak penagihan dadah, dia kini menjadi salah seorang daripada lebih 50 penghuni Pondok Remaja Inabah ll di sini yang masing-masing menyimpan 1001 kisah duka.

Tidak pernah terfikir di usia mudanya perlu dihabiskan bergelumang dengan dadah hingga dihantar ke pusat pemulihan itu, Adik (bukan nama sebenar), 26, pasrah dengan nasib menimpa dirinya.

"Ini semua berlaku sebab saya terlibat dengan dadah. Kerana dadah saya dimasukkan ke penjara sebanyak dua kali. Kesudahannya, di sinilah tempat saya," katanya ditemui media di sini hari ini.

Adik yang berasal dari Pahang itu ditemui di Pondok Remaja Inabah ll terletak di Sungai Ikan, di mana pusat ini menempatkan lebih 50 penghuni yang mendapatkan rawatan pemulihan dadah.

Adik dan rakan rakannya turut diraikan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menganjurkan Program Jelajah Iftar Jamie di pusat pemulihan tersebut sebelum ini.

Daripada raut wajahnya, Adik nampak gembira tinggal di situ, seolah-olah dia mendapat satu harapan baharu untuk mengubah kehidupannya menjadi lebih baik berbanding dirinya sebelum ini.

Kata Adik, seperti insan lain, suatu masa dahulu dia pernah hidup bahagia bersama keluarganya namun episod hitam kehidupannya bermula apabila terjebak dengan dadah 10 tahun lalu.

Selepas terjebak, kehidupan yang dilalui tidak ubah seperti berada di dunia khayalan yang penuh dengan ilusi sebelum ditahan dan dipenjarakan selama dua tahun kerana memiliki dadah pada 2016.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ditahan tiada istilah bulan Ramadan atau hari raya dalam hidup. Bagi saya setiap hari sama sahaja. Kalau ada 'barang' saya 'happy' kalau tiada saya akan cari rakan rakan yang ada," katanya.

Ditanya apakah dia terfikir untuk hidup bahagia bersama keluarga seperti mana yang pernah dikecapinya suatu masa dulu, Adik yakin dia mampu berubah dan kembali ke pangkal jalan dan keluarganya.

Pondok Remaja Inabah II ditubuhkan pada tahun 1988 dan bermula pada tahun 1990 pondok itu berfungsi sebagai produk di bawah naungan Yayasan Serba Bakti Nurul Iman Terengganu.

Pusat ini juga diperakui serta diberi pengiktirafan untuk bergerak sendiri dan didaftarkan mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor pendaftaran 992/93 pada 30 November 2009.

Ia juga didaftarkan dibawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 (Akta A 1018) dan diperakukan sebagai sebuah Pusat Jagaan Lanjutan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!