Kita sebenarnya manusia kaya
SEBAGAI seorang alumni persatuan, saya dipanggil oleh seorang teman untuk memberi sedikit motivasi kepada sekumpulan ahli-ahli baharu persatuan GPMS-UiTM. Sambil memandu ke tempat perjumpaan, saya terfikir apakah yang patut saya sampaikan.
Tiba-tiba timbul rasa kagum saya terhadap mereka. Saya kira mereka adalah sekumpulan para pelajar yang berhati mulia kerana sanggup meluangkan masa dan tenaga mereka dengan melakukan aktiviti sukarela dalam bidang pelajaran dengan cara memberi motivasi dan bimbingan kepada para pelajar sekolah secara percuma.
Tidak ramai anak-anak muda pada hari ini yang sanggup berbuat begitu. Ramai yang lebih gemar melepak dengan menonton di pawagam, bermain game, pulang ke rumah mahupun melakukan aktiviti-aktiviti sendiri pada hujung minggu. Ia mencetuskan idea dan inti penyampaian saya pada petang itu.
Sejak kecil, kita sering diberitahu oleh orang tua agar belajar rajin-rajin. Kata mereka, apabila dapat kelulusan yang baik, bolehlah kita sambung belajar di universiti. Bila tamat belajar kelak, boleh dapat kerja yang baik. Nanti bila telah bekerja dan dapat gaji yang baik, kita boleh tolong ibu bapa dan adik beradik yang lain.
Begitulah kata-kata yang biasa kita dengar daripada orang tua. Kata-kata ini jugalah yang tersemat di sanubari sebagai ingatan dan semangat agar kita menimba ilmu. Kita pasang niat untuk belajar rajin-rajin hingga berjaya memasuki universiti dan setelah lulus, kita akan mendapat kerja lalu kita bantu kembali orang lain.
Kata-kata itu nampaknya begitu murni. Tiada apa yang tidak elok untuk menerima nasihat itu lalu menyematnya ke dalam hati. Tetapi, sedar tak kita yang kata-kata yang sedemikian itu sebenarnya merencat pelbagai potensi lain yang kita ada?
Malah, kata-kata itulah yang menjadikan kita sebagai manusia yang hanya mengejar material dan bukan elemen kekuatan yang kita ada.
Malangnya, sebahagian besar daripada kita menganut pandangan yang serupa. Kita mengejar kejayaan hidup secara material dahulu sebelum membantu orang di sekeliling kita. Sudah tentu, selagi belum berjaya, kita akan sibuk mengejar kejayaan material supaya akhirnya dapat membantu orang lain.
Pandangan dan pendirian hidup yang sebegini bukannya tidak baik, tetapi ia kurang tepat. Apabila kita hanya melihat keupayaan membantu orang lain itu hanya dari sudut kewangan atau material, maka sudah tentu kita hanya dapat membantu orang lain setelah kita mempunyai material yang berlebihan.
Oleh kerana itulah, ramai di antara kita yang bertungkus-lumus mengejar material hingga mengabaikan mereka di sekeliling kita. Kita percaya, hanya dengan harta yang banyak sahaja yang membolehkan kita membantu orang lain.
Apa akan jadi seandainya kita tidak dapat lagi apa yang kita impikan? Maknanya, kita tidak akan punyai peluang membantu orang lain. Mungkin sampai bila-bila kita akan sibuk hingga menjadi hamba kepada kerja kita sendiri!
Sebenarnya, ramai yang tak perasan bahawa kita tidak semestinya menunggu hingga ada wang baharu boleh membantu orang lain. Bukankah kita semua ada dua lagi perkara selain daripada wang iaitu masa dan tenaga?
Malah, kita semua mempunyai masa dan tenaga yang banyak. Tak perlu menunggu ada wang yang banyak baharu boleh membantu orang lain. Bukankah senyum itu sedekah? Senyuman yang diberi itu hanya memerlukan tenaga untuk menggerakkan otot untuk menggariskan sebuah senyuman.
Dalam skala yang lebih besar lagi, kita tidak perlu menunggu ada wang untuk membantu orang lain. Sedekahkan tenaga seperti buah fikiran, gembirakan orang lain serta berikan nasihat.
Atau kita boleh tolong angkat bungkusan barangan pasar yang dibawa isteri, menolong jiran memarkir keretanya, menyusun kerusi pada majlis kenduri jiran atau sekurang-kurangnya membuang ranting kayu di tengah jalan.
Untuk sedekah masa pula, jadilah pendengar yang baik, berikan masa untuk ucap selamat hari lahir kepada teman-teman, hulurkan idea di laman sosial atau berilah peluang kepada kereta di depan bila ia lambat bergerak bila lampu trafik bertukar hijau.
Itu semuanya sedekah masa yang kecil-kecil. Mudah-mudahan, masa yang kita beri kepada orang lain itu akan memberi kita keberkatan masa, iaitu boleh menyiapkan kerja-kerja sendiri dalam masa singkat.
Jika kita boleh mendahulukan sedekah masa dan tenaga tanpa menunggu kekayaan wang untuk disedekahkan, percayalah sedekah masa dan tenaga itu sendiri akan menjana kekayaan material.
Orang yang rajin sedekahkan masa dan tenaganya, ertinya dia seorang yang kaya masa dan tenaganya kerana disayangi oleh mereka yang di bumi dan di langit. Sebaliknya, jika kita asyik mengejar wang supaya dapat disedekahkan, kita miskin pula masa dan tenaga untuk dibelanjakan kepada mereka di sekeliling kita.
Begitulah nasihat saya kepada mereka pada petang itu.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!