Syarat wanita hamil, kanak-kanak berpuasa

Sejauhmana kemampuan dua golongan itu menunaikan ibadah yang dituntut dalam konteks perubatan?

A
A
A

BARU-BARU ini selebriti popular tanahair, Hanis Zalikha yang bakal bersalin pada bulan depan berkongsi detik cemas apabila bayi dalam kandungannya tidak bergerak dan 'mengeras' pada hari kedua selebriti itu berpuasa.

Bagaimanapun, selepas beliau mengambil pendekatan berbuka puasa dengan meneguk susu kurma dan biskut, bayinya kembali aktif dengan menendang perut ibunya.

Seorang lagi selebriti, Elfira Loy yang hamil anak pertama juga berdepan dengan cabaran untuk berpuasa.

Bagaimanapun, beliau yang hamil tiga bulan tetap berusaha menunaikan Rukun Islam ketiga itu selagi tidak membebankan diri dan membahayakan kandungannya.

Dua situasi itu jelas menggambarkan keupayaan dalam kalangan wanita berbadan dua berbeza-beza.

Berdasarkan konteks perubatan, tiada satu nasihat yang seragam yang boleh dipraktikkan ke atas ibu hamil yang ingin berpuasa. Begitu juga dalam kalangan kanak-kanak.

Pasti ramai tertanya-tanya adakah selamat untuk ibu mengandung berpuasa dan kesan kepada janin mahupun bayi yang dikandung?

Selain itu, adakah kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun sesuai untuk berpuasa sedangkan ia merupakan waktu terbaik untuk melentur peribadi mereka. Ikuti kupasan lanjut Sihat:Aktif mengenai topik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dugaan

​​​​ROZANA Zainal Abidin, 36, telah beberapa kali mengalami masalah pening dan rasa hendak pitam gara-gara berpuasa pada bulan Ramadan baru-baru ini.

Biarpun setiap kali menjalani pemeriksaan berkala untuk ibu hamil, beliau sering dimaklumkan oleh jururawat bertugas bahawa tekanan darahnya rendah.

Namun beliau tetap berusaha untuk menunaikan ibadah wajib itu.

"Biasanya selalu saya rasa mahu pengsan dan hampir rebah lebih-lebih lagi ketika cuaca panas. Ada ketikanya, saya mengaku yang saya mengambil makanan terlalu sedikit ketika bersahur.

"Bukannya saya tak mahu makan tetapi tiada selera. Tekak saya masih merasa loya biarpun fasa kandungan sudah melepasi trimester pertama," cerita Rozana yang kini hamil hampir enam bulan kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.

Menurut ibu yang bakal menimang cahaya mata kedua itu, lebih menambah dugaannya ketika mengandung kali ini, beliau turut mengalami masalah sembelit.

Itu cerita ibu mengandung.

Dalam satu situasi lain, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, Muhammad Haikal Hanafi yang kelihatan sangat pucat dan tidak bermaya di tempat duduknya ketika di dalam bilik darjah.

Cikgu yang sedang mengajarnya menyedari situasi murid tahun satu itu terus bertanya mengapa Muhammad Haikal sebegitu lemah.

Jawab kanak-kanak itu spontan dengan nada lesu: "Saya puasa cikgu."

Gurunya yang prihatin kemudian membawa Muhammad Haikal ke bilik guru sebelumnya menasihatinya untuk berbuka puasa sahaja memandangkan keadaannya yang tidak mengizinkan.

Haikal
Haikal

Ketika berjumpa penulis baru-baru ini, kanak-kanak cilik itu mengakui keadaannya tidak berapa kuat untuk berpuasa seharian disebabkan tidak bersahur.

"Masa (umur) enam tahun, saya dah cuba puasa separuh hari, kali ini saya cuba puasa penuh. Mak ada pesan kalau tak mampu, boleh terus berbuka.

"Tapi saya tetap nak puasa sebab ramai kawan puasa. Masa enam tahun dulu memang ada curi-curi juga nak makan. Sekarang dah besar, kenalah puasa," kata si cilik itu dengan nada keyakinan seorang budak.

Situasi ibu hamil seperti Rozana dan kanak-kanak seperti Muhammad Haikal memang biasa didengari. Bukan sesuatu yang luar biasa atau pelik apabila mereka berdepan cabaran getir ketika sedang menjalani ibadah berpuasa.

Persoalannya, adakah mustahil untuk kelompok itu boleh berpuasa seperti insan biasa lain? Perlukah mereka berpuasa dalam keadaan sedemikian?

Tiga faktor

Menjawab persoalan tersebut khususnya buat ibu hamil, Sihat:Aktif mendapatkan Pengamal Perubatan Sakit Puan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Naluri, Kuala Lumpur, Dr Azwaratul Khadijah Azzahar atau dikenali Dr Azwaratul.

Dr Azwaratul
Dr Azwaratul

Jelas beliau, pada asasnya wanita hamil boleh berpuasa selari tuntutan agama.

"Dari sudut perubatan, kajian membuktikan tiada kesan sampingan dari segi saiz dan berat bayi semasa kelahiran, jika ibunya berpuasa selagi nutrisi lengkap diperoleh semasa bersahur dan berbuka.

"Namun begitu perlu diambil kira juga tempoh berpuasa dan keadaan cuaca. Sebagai contoh, di Rusia tempoh berpuasa mencecah 20 jam yang mana waktu siang lebih panjang dan mungkin menyebabkan dehidrasi," ujarnya.

Keadaan itu sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan si ibu dan bayi dalam kandungan, maka tidak digalakkan untuk meneruskan puasa, kata Dr Azwaratul.

Justeru, pakar berkenaan menyimpulkan bahawa ketahanan untuk berpuasa bergantung kepada tempoh kehamilan, waktu berpuasa dan keadaan cuaca.

"Selain itu, pada trimester pertama, seseorang ibu akan mengalami simptom awal kehamilan seperti muntah dan pedih hulu hati. Keadaan itu boleh menyebabkan dehidrasi dan luka di dinding perut jika ia berterusan.

"Jika ada simptom tersebut, si ibu tidak digalakkan berpuasa supaya tidak memburukkan lagi keadaan. Jika berdepan dengan situasi hingga tidak boleh menerima makanan atau minuman, kena lebih segera dapatkan rawatan," katanya.

Jejas janin

Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ibu mengandung pada trimester pertama yang berpuasa akan mengalami risiko kelahiran dengan berat bayi kurang dari 2,500 gram berbanding dengan ibu yang tidak berpuasa, ujar Dr Azwaratul.

Pun begitu, menurutnya tiada perbezaan ketara dari segi berat bayi antara ibu berpuasa pada trimester kedua dan ketiga dengan ibu yang tidak berpuasa.

"Kajian menunjukkan tiada risiko kelahiran pramatang apabila ibu mengandung berpuasa.

"Sekiranya seseorang ibu tiada simptom awal kehamilan maka ibu boleh berpuasa selagi tidak mendatangkan kemudaratan," katanya.

Berikut penjelasan lanjut pakar tersebut mengenai kondisi kondisi wanita hamil tidak boleh berpuasa. Ia tidak digalakkan apabila seseorang itu berdepan dengan situasi seperti berikut:

1) Gula dalam darah atau tekanan darah terlalu rendah hingga boleh menjejaskan fungsi badan.

2) Mereka yang berdepan masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis sehingga memerlukan ubat-ubatan. Mereka masih boleh berpuasa jika mahu selagi dos ubatan diubah sesuai untuk waktu sahur dan berbuka. Pemantauan kerap juga perlu dilakukan bagi memastikan kesihatan tidak bertambah buruk.

Jika seseorang ibu hamil tetap mempertahankan pendirian untuk tetap berpuasa, apa risiko-risiko lain yang akan dihadapi?

Jawab Dr Azwaratul: "Bergantung kepada masalah dialami, sebagai contoh, tekanan darah tinggi tidak terkawal boleh mengakibatkan sawan atau bacaan gula terlalu rendah sehingga pengsan tidak sedarkan diri."

Dalam pada itu, Pengamal Perubatan Keluarga, Dr Siti Asmah Shafie dari Klinik Dr Asmah, Sungai Petani, Kedah berkata, golongan ibu mengandung tidak mengira usia kandungan boleh berpuasa selagi tidak memudaratkan ibu dan bayi.

Dr Asmah
Dr Asmah

"Cuma apabila kondisi seperti alahan atau gastrik teruk pada awal kandungan, pendarahan, dehidrasi dan sakit, tidak perlulah meneruskan puasa.

"Jika terdapat pendarahan misalnya tapi tetap mahu, ia boleh menjejaskan janin," katanya.

Kanak-kanak lebih berisiko

Bagaimana pula dengan perubahan sistem dalam tubuh kanak-kanak ketika berpuasa?

Kepada Sihat:Aktif, Pensyarah Kanan dalam Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Norsham Juliana Nordin menjelaskan, perubahan tubuh kanak-kanak dan orang dewasa adalah berbeza.

Dr Norsham Juliana
Dr Norsham Juliana

Katanya, kanak-kanak tidak boleh diberi takrifan mudah dengan menganggap mereka sebagai 'miniatur' kepada orang dewasa.

Secara umumnya, kanak-kanak terdiri daripada bayi yang baru lahir sehingga individu yang berumur 12 tahun.

"Secara relatif kepada saiz tubuh, kanak-kanak mempunyai jumlah kandungan air tubuh yang lebih tinggi berbanding orang dewasa. Mereka turut mempunyai kadar metabolik tubuh serta luas permukaan tubuh yang tinggi.

"Oleh itu, mereka lebih mudah menghadapi masalah dehidrasi dan ketidakseimbangan mineral tubuh. Mereka memerlukan jumlah kadar air yang lebih banyak daripada orang dewasa bagi mengekalkan keseimbangan cecair tubuh mereka," katanya.

Ujar beliau, kanak-kanak yang masih dalam proses tumbesaran secara umumnya tidak mempunyai banyak tenaga alternatif. Oleh itu, sumber protein dan lemak terhad dalam tubuh kanak-kanak boleh memberikan kesan kepada tubuh.

Bagaimanapun, kata pakar tersebut, pengambilan air yang cukup, pemakanan yang betul selepas berbuka dan semasa bersahur, berupaya membantu mengelakkan masalah kemudaratan.

Menjawab pertanyaan, pada usia berapakah yang sesuai untuk menggalakkan kanak-kanak berpuasa, Dr Norsham berkata, tiada garis panduan jelas mengenainya.

Bagaimanapun, menurutnya, ramai ibu bapa yang menyarankan anak mereka menunaikan ibadah mulia itu pada umur tujuh tahun sesuai dengan saranan agama.

"Namun, saya ingin ingatkan, kanak-kanak yang ada masalah kurang berat badan iaitu mempunyai BMI yang lebih rendah daripada sepatutnya juga tidak digalakkan berpuasa tidak kira pada usia tujuh tahun atau bawah daripada itu.

"Ini memandangkan dalam lingkungan umur berkenaan, tumbesaran mereka sangat laju. Sebarang perubahan dari segi pemakanan boleh memberikan kesan yang cepat terhadap mereka," katanya.

Berbeza dengan kanak-kanak semakin menjangkau akil baligh kerana pada peringkat itu, metabolisme tubuh serta perubahan fungsi tubuh akan menjadi semakin stabil dan matang.

"Mereka boleh berpuasa walaupun mempunyai berat badan yang rendah, namun aspek pemakanan serta aktiviti semasa berpuasa perlu diambil perhatian," katanya.

Sembelit, dehidrasi jadi masalah utama

​​​​PAKAR Diet yang juga Pengurus Dietetik & Perkhidmatan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mastari Mohamad berkata, sembelit merupakan antara permasalahan kerap melanda orang ramai ketika berpuasa.

Mastari (kanan) ketika program berkaitan pemakanan sihat kanak-kanak di IJN.
Mastari (kanan) ketika program berkaitan pemakanan sihat kanak-kanak di IJN.

Menurut Mastari, hal itu berpunca daripada terlalu kurang pengambilan air selain sayur dan buah-buahan yang mencukupi.

"Sembelit bukan masalah major, cuma ia mungkin 'kritikal' untuk kanak-kanak, orang tua dan wanita hamil.

"Jika kena pada budak pun boleh sebabkan mereka jadi tertekan, tidak selesa dan perut kembung," katanya kepada Sihat:Aktif ketika ditemui pada program Simply Nutritious for Kiddos sempena Bulan Nutrisi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurutnya, sebenarnya tiada garis panduan untuk memaklumkan jumlah air sepatutnya perlu diambil seseorang itu pada bulan puasa.

Percaya Ramadan ada hikmah tersendiri untuk kesihatan tubuh badan, Mastari berkata, semasa bulan Ramadan, badan manusia sudah mempunyai mekanisme sendiri untuk menyesuaikan dengan keadaan berpuasa.

"Cuma masalahnya, mungkin pada mulanya terdapat simptom pening sikit dan tak selesa tetapi selepas dua tiga hari, badan dah boleh adjust dengan rutin puasa.

"Orang normal, biasanya kalau sahur dengan air sahaja pun boleh survive tanpa masalah. Cuma orang tua, kanak-kanak, ibu hamil, kita kena ambil berat supaya puasa tak mengganggu tumbesaran dan masalah kesihatan sebab mereka dalam kumpulan yang orang kata ada risiko kalau tak cukup zat," katanya.

Mengulas jumlah air sepatutnya diperlukan tubuh kanak-kanak, jelas beliau, ia bergantung kepada tahap usia dan aktiviti si kecil itu.

No Image Caption

Kebiasaannya, harus dalam kuantiti separuh daripada jumlah air yang diambil oleh orang dewasa iaitu sebanyak dua ke tiga liter sehari.

"Keperluan air minuman untuk remaja juga kadangkala perlu seperti orang dewasa.

Namun, buat wanita hamil pun tidak perlu minum air lebih daripada biasa pada bulan puasa.

Ini disebabkan bulan puasa, secara umum keperluan badan menurun.

"Secara tak langsung apabila kurang makan, metabolisme kita pun akan berkurangan secara automatik.

​​​​​​"Jadi keperluan air semasa berpuasa tak sama dengan pada hari biasa," katanya.

Menurut pakar itu lagi, dari segi kesihatan badan, berpuasa mengandungi hikmah luar biasa iaitu membersihkan dan merehatkan organ tubuh manusia. -AG

ANEKDOT

-Galakkan anak minum air secara seimbang dari waktu berbuka puasa hingga bersahur. Begitu juga ibu hamil.

Penting mencukupkan keperluan air dalam tubuh kanak-kanak yang berpuasa.
Penting mencukupkan keperluan air dalam tubuh kanak-kanak yang berpuasa.

-Jangan minum air terlalu banyak pada waktu sahur. Itu tidak membantu untuk mengekalkan kandungan air dalam badan.

-Kepada ibu hamil, jika perut berasa terlalu penuh, boleh diselang-selikan air dengan pengambilan buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai dan anggur.

-Minum susu pada waktu malam untuk pastikan protein dan kalsium badan mencukupi.

-Pasang alarm supaya dapat mengingatkan waktu minum air.

- Berpuasa ikut kemampuan, jangan memaksa diri. Lewatkan waktu bersahur dan makan sebelum tidur.

- Banyakkan makanan berserat seperti oat dan wholemeal supaya perut dapat bertahan lebih lama.

- Pastikan sahur dan berbuka dengan makanan rendah glysemic indeks supaya penghadaman lebih lama dan kenaikan gula dalam badan meningkat secara perlahan.

- Elakkan pengambilan makanan manis yang banyak terutamanya selepas berbuka puasa.

- Amalkan meminum air masak yang banyak semasa bersahur dan berbuka.

- Awasi pergerakan bayi dalam kandungan semasa berpuasa. Jika mengalami simptom dehidrasi atau pergerakan bayi tidak normal segera berbuka dan dapatkan nasihat doktor.

- Jika ibu mengandung mengalami masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi digalakkan berbincang dengan doktor terlebih dahulu untuk pelan berpuasa dan cara-cara pengambilan ubatan semasa berpuasa.

Sumber daripada Pengurus Dietetik & Perkhidmatan Makanan, Institut Jantung Negara, Mastari Mohamad dan Pengamal Perubatan Sakit Puan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Naluri, Kuala Lumpur, Dr Azwaratul Khadijah Azzahar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!