Jangan tertipu ‘janji manis’ penjual ubat palsu
SHAH ALAM - Kesihatan adalah segalanya, maka tidak hairanlah ada individu sanggup berhabis ribuan ringgit demi kesihatan.
Namakan apa sahaja jenis ubat, pasti mereka cuba mendapatkannya dengan harapan memberi manfaat kepada kesihatan mereka.
Fenomena berkenaan berlaku di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Fenomena itu juga membuatkan wujudnya pihak yang cuba mengambil kesempatan menghasilkan produk palsu, tiruan dan tidak berdaftar namun dihiasi ‘ayat-ayat manis’ untuk menarik pembeli.
Maka, berbondonglah rakyat Malaysia terpedaya dengannya dan tidak memikirkan kesan sampingan, asalkan mereka percaya ia mampu memberi manfaat kepada kesihatan, mereka terus membelinya. Risiko, belakang kira.
Menyedari situasi tersebut semakin membarah, beberapa pengamal perubatan bertauliah mengambil inisiatif berani menerangkan, menjelaskan bahkan membidas ‘kepercayaan’ sebegitu yang saban tahun semakin merosakkan kesihatan rakyat Malaysia.
Menggunakan media sosial sebagai medium, Medical Mythbusters Malaysia (M3) bertujuan menangkis, menjawab pelbagai fitnah dan mitos yang dilemparkan terhadap bidang perubatan khasnya di Malaysia.
Pengerusi dan pengasasnya, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, pelbagai gelaran dilemparkan kepadanya dan rakan-rakan selepas mereka mendedahkan fakta berkaitan ubat-ubatan yang tidak terbukti keberkesanannya.
“Yahudi. Munafik. Syirik. Cakap sahaja apa jenis cacian dan makian, kami sudah lali mendengarnya namun ada juga insiden kami terpaksa membuat laporan polis kerana risau keselamatan nyawa ahli kami,” katanya.
Lazimnya, sebaik pendedahan mereka ditularkan, peniaga mula berasa tidak senang duduk dan merasakan hujah-hujah daripada pengamal perubatan tersebut bertujuan menutup periuk nasi mereka namun bagi Dr Ahmad Firdaus, bukan itu niat mereka.
“Perniagaan yang baik adalah perniagaan yang memberi manfaat kepada pengguna dan tidak bersifat memberi janji-janji palsu. Ada pelbagai perniagaan yang menjaga etika dan syarikat sedemikian mampu menjana keuntungan lumayan,” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan pemerhatiannya bersama rakan-rakan di M3, masyarakat di Malaysia sukar mendapatkan maklumat kesihatan yang sahih akibat kekangan bahasa kerana kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris.
“Vakum maklumat ini diisi oleh fakta tidak sahih, mitos dan penjual produk kesihatan yang tidak beretika. Oleh itu, kami bertindak dengan mengisi vakum tersebut dengan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya.
Dalam pada itu, pegawai perubatan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam), Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini pula berpendapat, ubat palsu sangat berbahaya kerana ia tidak dijamin keselamatan dan keberkesanannya sedangkan dua elemen tersebut ialah aspek terpenting dalam menentukan kualiti ubat.
“Contohnya, jika berlaku komplikasi selepas mengambil ubat tersebut, kepada siapakah pengguna harus merujuk dan buat laporan? Pihak berkuasa juga mungkin bermasalah mencari kilang dan penjual ubat palsu itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, ubatan palsu dijual secara berleluasa di negara ini kerana pengiklanan dan penjualannya di media sosial merancakkan lagi pengedaran produk tersebut selain faktor masyarakat mudah terpedaya.
“Cara terbaik untuk menangani isu ini melalui pemeriksaan dan penguatkuasaan lebih ketat yang perlu dibuat terutamanya di sempadan dan pintu Imigresen. Pihak berkuasa diharap merancakkan serbuan ke tempat penghasilan ubat ini selain mengesannya dalam pasaran.
“Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan dan menyekat iklan ubat palsu yang berlegar di media sosial,” ujarnya.
Sebagai pengamal perubatan, Dr Ahmad Faidhi dan rakan sangat mengambil berat akan bahaya ubat palsu dan tiruan terhadap kesihatan awam kerana akhirnya pengguna sendiri akan merana akibat pengambilan ubat tersebut.
“Akibat penyalahgunaan ubat palsu, pengguna akan merana ekoran keracunan dan kerosakan pelbagai organ badan. Kesal di kemudian hari tiada gunanya.
“Akhirnya pengguna dan keluarga yang kesusahan selain negara terpaksa menanggung beban rawatan akibat komplikasi ubat palsu,” tegasnya. Jangan terpedaya
Hakikatnya, penjual ubat palsu atau tiruan tidak pernah mengenal mangsa. Jika lelaki, mereka sasarkan kepada obsesnya lelaki dengan ‘ubat kuat’ manakala wanita sudah pasti ia berkaitan kecantikan. Sebut dua perkara ini, pasti ramai terpedaya.
Kebimbangan itu pernah disuarakan bekas Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr Kamaruzaman Saleh yang menggesa orang ramai lebih berhati-hati membeli sebarang produk ubatan dan kosmetik terutama secara dalam talian yang meragukan dari segi keselamatan produk.
“Orang ramai dinasihat tidak menggunakan produk yang tidak berdaftar atau kosmetik tiada bernotifikasi dengan KKM (Kementerian Kesihatan) dan mereka boleh menyemak status pendaftaran terbabit melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi NPRA di talian 03-78835400.
“Pengguna juga digalak mengemukakan aduan dan menyalur maklumat produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam,” katanya.
Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melahirkan kebimbangan dengan berleluasanya ubat-ubat tiruan dan mendedahkan jualan ubat palsu dipercayai menjangkau AS$200 bilion (RM836 bilion)setahun di seluruh dunia. Kebanyakannya terdapat di negara-negara membangun.Produk yang berdaftar dengan PBKD mempunyai dua ciri-ciri utama iaitu:
Nombor Pendaftaran MAL Pelekat Hologram Meditag
Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada setiap pek jualan ubat-ubatan.
Nombor pendaftaran MAL dimulakan dengan ‘MAL’, diikuti dengan 8 angka dan diakhiri dengan kod produk. Contoh: MAL12345678X Maksud bagi setiap Kod Produk adalah seperti yang berikut: A: Ubat terkawal (ubat preskripsi) X:
Ubat terkawal tanpa preskripsi atau ubat over-the-counter (OTC) T: Ubat tradisional N: Suplemen kesihatan contohnya vitamin atau mineral Ketulenan Pelekat Hologram boleh disemak menggunakan: Dekoder Meditag (Alat ini disediakan di kedai-kedai farmasi. Pengguna boleh membawa ubat ke kedai farmasi berdekatan untuk membuat semakan) Aplikasi Meditag Checker (boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Android Google Play (untuk pengguna telefon bimbit jenis android) atau OS Apps Store (untuk pengguna telefon bimbit jenis iPhone).
Semak status pendaftaran produk melalui: Laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Pautan laman sesawang NPRA adalah http://npra.moh.gov.my/. Pengguna boleh menggunakan butang 'Produk Status' untuk memulakan pencarian. Aplikasi MediQuestBagaimana kenal pasti produk berdaftar?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!