Tak perlu lagi tinggal di bangsal
PONTIAN - Enam beranak yang tinggal di bangsal berbumbung kanvas di Kampung Maju Jaya Pekan Nanas di sini bakal menerima rumah baharu yang akan disiapkan selewat-lewatnya sebelum Aidilfitri.
Pelbagai pihak tampil membantu keluarga Hasreen Sairi, 38, dan isterinya Norhaslinda Abdul Rahman, 33, serta empat orang anak mereka berusia 11 hingga 2 tahun sejak tinggal di bangsal berkenaan enam bulan lalu.
Hasreen berkata, dia amat bersyukur ada pihak yang prihatin terhadap nasib keluarganya.
“Syukur, lega dapat rumah baru. Saya tak fikir pasal raya dah sekarang ini, saya hanya fikir pasal anak-anak, asalkan mereka ada tempat berteduh.
“Sebelum ni pun, selepas tak mampu bayar sewa rumah, saya bawa mereka pindah ke kampung. Saya tak nak meminta-minta, dengan kudrat yang ada saya bercucuk tanam dan bela ikan,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dan ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, semalam.
Menurutnya, dia kini memiliki dua kolam ikan tilapia yang dianggarkan berjumlah 300 ekor selain mengusahakan tanaman ubi, bendi dan terung.
Sementara itu, Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pada mulanya kerja-kerja pembinaan rumah baharu itu melibatkan kos sebanyak RM6,000.
Menurutnya, bagaimanapun, kosnya mencecah RM20,000 selepas penambahan kemudahan utiliti air, elektrik serta tambahan binaan tandas dan dapur.
“Rumah ini akan didirikan berdekatan bangsal ini. Pegawai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) juga telah datang meninjau keadaan keluarga ini dan melihat status tanah di sini. Sebelum raya, dah ada rumah baru untuk mereka. Tak perlu lagi tinggal di bangsal.
“Pihak sekolah juga telah dihubungi bagi mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak Hasreen yang berumur 11 dan 9 tahun,“ katanya.
Dalam pada itu, ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, Hasreen merupakan individu yang memiliki kemahiran dan rajin bercucuk tanam.
“Ketika saya berbual dengan Hasreen, dia beritahu pernah kerja dalam bidang pendawaian elektrik.
“Hasreen juga menanam pelbagai jenis sayur. Saya akan cuba dapatkan bantuan dari agensi kerajaan berkaitan bagi meningkatkan hasil tanaman yang diusahakannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!