Enam perusuh terkorban, kira-kira 200 cedera
JAKARTA - Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, sekurang-kurangnya enam perusuh terkorban semalam.
Menurutnya, kira-kira 200 yang lain cedera dan kini dirawat di beberapa hospital sekitar Jakarta.
"Setakat ini enam orang disahkan terkorban. Jumlah kematian atau kecederaan mungkin meningkat dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, Hospital Budi Kemuliaan mengesahkan seorang perusuh yang dirawat di kemudahan itu meninggal dunia akibat terkena tembakan peluru hidup.
Malah, sepanjang malam semalam hospital berkenaan menerima seramai 17 perusuh yang mengalami pelbagai jenis kecederaan.
"Ada di antara mereka mengalami luka tembakan di bahu, betis dan tangan.
"Ada yang dihantar ke Hospital Tarakan kerana perlu dibedah," kata pengarah hospitalnya, Dr Fahrul W Arbi.
Sebelum itu, Fahrul memaklumkan seorang perusuh meninggal dunia semasa dirawat di hospital berkenaan.
"Mangsa masih hidup ketika dibawa ke hospital. Dia meninggal dunia semasa sedang dirawat.
"Terdapat luka tembakan pada bahagian dada dan menembusi bahagian belakangnya.
"Mungkin paru-parunya terkena peluru," katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Farhan Syafero, 30, beralamat di Kampung Rawakalong, Kelurahan Grogol, Kota Depok. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!