Rakyat Pahang bersedih atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah
KUANTAN - Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah yang telah mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.
Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kemangkatan baginda membuatkan seluruh rakyat Pahang bersedih yang terkenal sebagai Sultan yang sangat pemurah, sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
"Almarhum Tuanku adalah insan yang memperkenalkan istilah 'Raja & Rakyat Berpisah Tiada' dan merupakan seorang raja yang benar-benar menghayati istilah tersebut.
"Pernah apabila baginda terdengar kemalangan atau musibah melanda negeri ini, baginda akan turun ke lapangan.
"Pernah juga terjadi kebakaran di Sekolah Menengah Datuk Bahaman, Almarhum Tuanku bergegas berangkat dan menenangkan pelajar yang terlibat dan berada di kawasan tragedi di antara 3-4 jam," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, baginda juga terkenal sebagai peminat sukan di negara ini dan dikenali sebagai Raja yg sangat aktif dalam bidang sukan terutamanya bola sepak.
"Rakyat Pahang akan sangat terasa kehilangan Almarhum. Semoga roh Almarhum Tuanku sentiasa dicucuri rahmat," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!