Restoran kotor di Seremban diarah tutup
SEREMBAN - Sebuah restoran di Kampung Baru Rahang di sini, diarahkan tutup selepas didapati menjalankan operasi dalam keadaan kotor serta tidak mematuhi amalan kebersihan pengendali makanan dan penyimpanan bahan mentah.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, satu Notis Penutupan Premis Tidak Suci di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikeluarkan dan pemilik premis diperintahkan membuat penutupan premis selama 14 hari bermula 11.50 malam tadi.
Menurutnya pemeriksaan memberi tumpuan kepada aspek amalan kebersihan pengendali makanan, penyimpanan bahan mentah, kaedah penyimpanan dan penyediaan makanan, tahap kebersihan premis secara keseluruhan dan semakan rekod kursus dan suntikan antitifoid.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, rating premis ini adalah 57.5 peratus. Masalah yang dikesan antaranya pengendali makanan tidak memakai pakaian perlindungan diri seperti apron, penutup kepala dan kasut dengan lengkap; pengendali makanan tidak menjalani kursus latihan pengendali makanan dan tidak mendapatkan suntikan antitifoid.
“Terdapat penggunaan kotak telur di dalam premis; tong sampah di premis tidak ditutup sentiasa dan boleh mengundang kehadiran lalat; perangkap sisa makanan tidak disediakan dan air limbah dilepaskan terus ke longkang; keadaan lantai dan dinding premis yang kotor; bahan mentah yang lama tidak digunakan dan dibiarkan di dalam peti sejuk,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Veerapan berkata, selain itu, pemilik premis juga diarahkan untuk mematuhi arahan penambahbaikan dan menjalankan kerja pembersihan mengikut notis Seksyen 10 Akta Makanan 1983 sepanjang tempoh penutupan tersebut.
“Aktiviti pemantauan secara berterusan akan dilakukan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seremban ke atas premis.
"Sebarang pelanggaran ke atas standard dan undang-undang berkaitan kebersihan di premis ini akan diambil tindakan penguatkuasaan daripada aspek perundangan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!