RM125,000 untuk masjid Parlimen Kota Melaka
MELAKA TENGAH - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong meneruskan rutin tahunan apabila mengagihkan sumbangan Ramadan dan Syawal ke 25 buah masjid dalam Parlimen Kota Melaka berjumlah RM125,000 baru-baru ini.
Menurutnya, wang tunai RM5,000 yang diterima setiap masjid itu bertujuan membantu jawatankuasa masjid menjalankan kerja-kerja kebajikan dan aktiviti sepanjang bulan Ramadan.
"Setiap tahun sumbangan ini diagihkan adalah demi memastikan banyak aktiviti keagamaan seperti bacaan kitab suci al- Quran, tadarus atau ceramah agama dapat dilaksanakan demi orang Melayu Islam.
"Sumbangan ini adalah tanda keikhlasan kerajaan di bawah PH yang sentiasa mendahulukan keperluan rohani dan mengambil berat perihal ehwal masyarakat Melayu Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Fathur Rahman, Kampung Pengkalan Rama di sini semalam.
Poay Tiong berkata, pengagihan sumbangan untuk masjid di seluruh negara menjadi lebih efektif dan telus di bawah PH.
"Jabatan perdana menteri akan terus menyalurkan wang agihan sumbangan kepada masjid-masjid ini, ia lebih jujur dan telus apabila semua masjid mendapat manfaat serta jumlah yang sama.
"Saya sendiri merujuk dengan Jabatan Perdana Menteri mengenai dana-dana atau sumbangan Ramadan terutama dalam Parlimen Kota Melaka dan hasilnya amat menggembirakan apabila semuanya (dana, sumbangan) diluluskan," katanya.
Menurutnya, beliau dalam waktu terdekat akan menggiatkan lagi aktiviti turun padang dan mengagihkan sumbangan khas Ramadan dan Syawal kepada kira-kira 200 masyarakat yang kurang bernasib baik dalam Parlimen Kota Melaka.
"Saya akan serahkan sumbangan ini kepada mereka demi memastikan keluarga kurang bernasib baik ini dapat merayakan Aidilfitri sama seperti insan lain," katanya.
Dalam pada itu, majlis agihan sumbangan kepada Masjid Fathur Rahman diserikan lagi dengan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Poay Tiong, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Omar Jaafar, ADUN Duyong; Damien Yeo dan Ketua Amanah Kawasan Kota Melaka, Datuk Harun Muhammed.
Turut hadir, wakil-wakil dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selain jawatankuasa masjid dan masyarakat di kampung berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!