Tular anak diculik, salah faham rupanya...

Baharudin
Baharudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menafikan kejadian culik yang didakwa berlaku di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini Ahad lalu.

Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial Facebook sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian itu bukan kejadian culik sebaliknya hanyalah salah faham.

"Ibu kanak-kanak lelaki autisme berusia 5 tahun menyangkakan anaknya mahu diculik selepas melihat seorang lelaki memegang tangan anaknya itu di pekarangan masjid.

"Laporan polis diterima daripada wanita berusia 31 tahun itu yang mendakwa anaknya dilihat bersama seorang lelaki pada jam 8.25 malam ketika mahu pulang ke rumah dari masjid terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan mendakwa lelaki tersebut memegang tangan anaknya selain turut mendengar lelaki itu menyebut ‘eh, comelnya’.

“Apabila melihat ibunya, kanak-kanak yang tidak boleh bercakap itu menuju ke arah ibunya.

"Lelaki berkenaan pula hanya melemparkan senyuman kepada ibu kanak-kanak itu.

Artikel Berkaitan:

"Ibu kanak-kanak itu mula mengesyaki sesuatu dan menyangkakan suspek cuba menculik anaknya berikutan tindakan suspek yang dilihat tergesa-gesa,” katanya.

Jelasnya, siasatan dijalankan mendapati lelaki terbabit tidak menekup mulut anaknya dan hanya bermain pipi saja.

"Wanita itu juga tidak dapat mengecam muka lelaki berkenaan selain kamera litar tertutup (CCTV) masjid tidak berfungsi sejak beberapa tahun lalu.

“Siasatan polis juga mendapati wanita itu berbuka setiap hari di masjid dan pulang sebelum Isyak," katanya.

Tambahnya, siasatan mengenai kejadian tetap diteruskan.

“Kenyataan wanita itu juga dilihat meragukan namun polis tetap meneruskan siasatan terhadap kejadian berkenaan,” katanya.

Terdahulu pada Ahad lalu seorang pemilik akaun Facebook iaitu bapa saudara kanak-kanak itu memuat naik status di laman sosial terbabit mengenai insiden cubaan culik di masjid berkenaan sehingga tular.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!