Peniaga diingatkan tidak naikkan harga barang
KUANTAN - Penyenaraian 25 jenis barang di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bertujuan menjamin bekalan barang barang keperluan bagi sambutan perayaan tersebut mencukupi selain membendung peniaga menaikkan harga barang.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, barang-barang yang terdiri daripada barangan keperluan harian tersebut bagi menjaga kepentingan pengguna yang menjadi keperluan sempena sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, penentuan harga ke atas barangan yang dikuatkuasakan bermula kelmarin sehingga 19 Jun itu sangat berpatutan dengan kerajaan prihatin dalam mengambil kira pelbagai aspek sebelum ianya dikuatkuasakan.
"Pada tahun ini, barangan yang dikawal sama seperti 21 barangan sebelum ini namun ada penambahan barangan iaitu ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, dimasukkan dalam pelaksanaan skim harga maksimum ini.
"Di Pahang, hanya 25 daripada 27 barangan dimasukkan ke dalam skim harga maksimum ini dan kita akan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga yang menjadi keperluan pengguna sempena Hari Raya ini dengan mematuhi skim harga maksimum yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran SHMMP yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin di Pasaraya TMG di Tanjung Lumpur semalam.
Nazri berkata, peniaga turut diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.
Menurutnya, tindakan tegas termasuk denda dan tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim itu.
Selain itu, beliau berkata, KPDNHEP Pahang turut memperkukuh pemantauan harga dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan dalam usaha pemantauan serta penyaluran maklumat kenaikan harga barang.
“Pengguna boleh salurkan sebarang aduan melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, WhatsApp ke 0192794317, talian pusat panggilan 1800 886 800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU jika ada peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!