Lumur najis lembu pada kereta
AHMEDABAD - Peningkatan suhu di musim panas menyebabkan orang ramai mencuba pelbagai cara untuk mengatasi kepanasan.
Bagi seorang penduduk di bandar Ahmedabad, Gujarat, dia mempunyai cara tersendiri untuk menyejukkan keretanya di waktu musim panas ini.
Gambar yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Rupesh Gauranga Das menunjukkan sebuah kereta yang dilumur dengan najis lembu.
Difahamkan, pemilik kenderaan tersebut, seorang wanita bernama Sejal Shah melumurkan keretanya dengan najis lembu bagi mengelak ia 'terbakar' akibat cuaca panas yang mencecah 45 darjah Celsius.
Dengan kapsyen 'cara penggunaan najis lembu yang terbaik pernah saya lihat setakat ini', gambar tersebut kini tular di media sosial India.
Gambar tersebut turut menimbulkan beberapa persoalan, antaranya bagaimana pemilik kereta berhadapan dengan bau najis lembu.
Tidak kurang yang bertanya berapa lapisan najis lembu yang digunakan bagi menyejukkan kereta terbabit.
Di pedalaman India, amalan melumur najis lembu di bahagian lantai dan dinding rumah menjadi satu kelaziman kerana dipercayai dapat memanaskan kediaman di musim dingin dan menyejukkannya di musim panas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!