Laluan Hulu Bernam-Sungai Besar ditutup sementara
HULU BERNAM - Jalan bagi laluan Hulu Bernam ke Sungai Besar ditutup sementara selepas berlaku mendapan di jambatan dekat Kampung Serigala, Sungai Selisek, semalam.
Penyelaras DUN Hulu Bernam, Mohd Amran Sakir berkata, mendapan tersebut disedari penduduk berdekatan pada awal pagi dan mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan segera.
Menurutnya, berdasarkan makluman daripada JKR, Laluan B44 itu ditutup sementara bermula jam 1 petang semalam dan diletakkan pengadang jalan di lokasi mendapan.
"Kain rentang makluman penutupan sementara jalan ini juga dipasang di beberapa persimpangan selain pemantauan di lokasi oleh pihak JKR.
"Tindakan ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya kerana mendapan di jambatan tersebut mengundang risiko bahaya jika dilalui kenderaan.
"Kesan mendapan boleh dilihat dengan jelas dan mereka yang mahu ke Changkat Asa dan Sungai Selisek dari arah Hulu Bernam, boleh menggunakan laluan Tanjung Malim ke Behrang," katanya.
Mohd Amran berkata, mendapan tersebut dipercayai berlaku akibat pergerakkan tanah selepas paras sungai meningkat akibat hujan lebat, petang kelmarin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!