Matrikulasi: Pertikaian berterusan boleh jejas tumpuan warga pendidik
PUTRAJAYA – "Perdebatan dan pertikaian mengenai isu kemasukan pelajar ke matrikulasi boleh menjejaskan tumpuan warga pendidik sebagai penjawat awam untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan", kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin.
Katanya pertikaian yang berterusan melibatkan pelbagai pihak selepas sahaja keputusan Jemaah Menteri dibuat berkaitan dengan kuota 90:10 kemasukan pelajar (Bumiputera/bukan Bumiputera) ke matrikulasi sehingga melampaui batas adab dan kesopanan adalah tidak sesuai dalam dunia pendidikan.
“Oleh itu kami percaya sebagai Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik wajar dan berhak mempertahankan keputusan Jemaah Menteri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Oleh yang demikian, Dr Amin berkata warga pendidik dalam Kementerian Pendidikan bertanggungjawab terus untuk mempertahan dan melaksanakan dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan, dan dilaksanakan sepenuh dan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!