Kononnya kena samun, ragut
Hasil siasatan polis mendapati, kes samun dan ragut yang didakwa tidak berlaku.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, berdasarkan siasatan, individu tersebut sengaja berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan salinan laporan polis bagi urusan menggantikan kad pengenalan yang hilang dan mengelak dikenakan denda.
Menurutnya, beliau agak kesal dengan tindakan segelintir pihak itu kerana ia boleh memberikan gangguan kepada tugas polis selain menggunakan kuasa di tempat yang tidak sepatutnya.
“Daripada kes yang diterima, 15 kes sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat laporan palsu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Othman berkata, beliau ingatkan orang ramai supaya tidak berbuat demikian sebaliknya menggunakan cara yang sepatutnya jika berlaku kehilangan dokumen pengenalan diri.
“Selain itu, kita juga pernah menerima laporan palsu berhubung satu kes lemas di Maran daripada seorang wanita mendakwa anak permpuannya dihanyutkan terjatuh ke dalam sungai.
“Susulan laporan itu, semua elemen mencari dan menyelamat digerakkan termasuk polis dan pasukan bomba namun mangsa rupanya berada di rumah dan laporan dibuat wanita itu palsu,” katanya.
Menurutnya, perbuatan itu sepatutnya tidak berlaku dan beliau memberi amaran supaya semua pihak lebih bertanggungjawab dengan membuat laporan yang tepat jika berlaku sesuatu keadaan melibatkan jenayah dan sebagainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!