Pengamal media sukan rasai kehilangan Sultan Ahmad Shah
KUALA LUMPUR - Kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, merupakan kehilangan besar kepada pengamal media sukan tanah air.
Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasnie Shafie berkata Almarhum yang merupakan Penaung Diraja SAM kira-kira 35 tahun, amat mesra dengan pihak media dan sering memberi sokongan tidak berbelah bahagi demi kemajuan sukan Malaysia.
Beliau berkata banyak kenangan manis yang dirakam oleh warga SAM ketika baginda memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mana pihak media dilayan penuh profesional tanpa sekatan protokol.
SAM pada 1981 pernah menganugerahkan penghormatan Peminat Utama Sukan Negara kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah di atas kesungguhan baginda membantu pembangunan sukan negara pada zaman itu, katanya.
Baru-baru ini, SAM juga telah mempersembahkan Anugerah Sepanjang Hayat kepada Almarhum pada majlis Anugerah SAM-100Plus yang berlangsung 10 April lalu sebagai penghormatan tertinggi atas sumbangan baginda kepada sukan negara.
“Anugerah tersebut diterima oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Anugerah Sepanjang Hayat ini sesungguhnya satu pengiktirafan tertinggi yang ikhlas dan tepat kepada Almarhum atas jasa baginda kepada pembangunan sukan negara.
“Sesungguhnya warga media sukan negara amat merasai kehilangan Almarhum dan akan sentiasa merindui Raja berjiwa rakyat itu. Moga Allah merahmati dan mencucuri rahmat ke atas roh baginda. Al-Fatihah,” katanya menerusi kenyataan.
Almarhum mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pada 8.50 pagi tadi.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!