Sayur lemak 'tere' juadah berbuka
TUMPAT - Ketika musim buah gajus berbuah lebat, ada penduduk menjadikan menu sayur lemak buah yang dipanggil 'tere' oleh penduduk tempatan itu sebagai juadah berbuka puasa.
Rasanya yang lemak dimasak bersama santan dicampur isi ikan dan bawang itu membangkitkan selera berbuka puasa.
Menu masakan Melayu yang jarang ditemui itu diketengahkan kariah Masjid Al-Itqan, Telaga Bata di sini sebagai usaha memperkenalkannya kepada generasi baharu.
Imamnya, Ismail Yakob berkata, juadah sayur lemak buah gajus antara menu yang dihidangkan bersama singgang daging, daging goreng untuk Iftar Perdana di Masjid Al-Itqan, Telaga Bata semalam.
"Kami masak secara gotong-royong, buah 'tere' itu dipetik dari pokok kariah masjid ini. Seekor lembu pula disedekahkan seorang dermawan disembelih untuk dijamu kepada 500 jemaah.
"Kami bergotong-royong melapah, memasak juadah dan iftar perdana ini sudah menjadi rutin di bulan Ramadan selain menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari di masjid," katanya.
Sementara itu, Siti Ara Deraman, 53, berkata, sebanyak 20 kilogram gajus dimasak sayur lemak.
"Prosesnya tidaklah cerewet tetapi buah 'tere' perlu dicelur dahulu dan kemudiannya dimasak lemak. Menu ini mendapat pelbagai reaksi ada yang kata sangat sedap tapi bagi tekak orang muda, mereka susah terima masakan ini.
"Makanan orang lama, tentulah diminati oleh orang tua saja, generasi muda tidak pernah rasa menu seperti ini. Apa pun, usaha untuk perkenalkan menu orang kampung terlaksana dan ramai juga anak muda cuba makan," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat turut menyertai majlis berbuka puasa secara beramai itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!