Ponteng sekolah jaga adik

Hisham (enam dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Abd Razak sambil diperhatikan Alia Natasya Nadia dan Norain (tengah) semalam.
Hisham (enam dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Abd Razak sambil diperhatikan Alia Natasya Nadia dan Norain (tengah) semalam.
A
A
A

MERSING - Seorang murid terpaksa ponteng sekolah untuk menjaga dua adiknya yang masih kecil di Kampung Sungai Dua Muka di sini setiap kali ibunya menghantar adiknya mendapatkan rawatan di hospital.

Ibunya, Norain Nadia Ali, 30, berkata, meskipun berdepan peperiksaan besar pada tahun ini namun anak keduanya, Alia Natasya Nadia Mohd Zamri, 12, sebagai kakak tertua di rumah tiada pilihan lain.

Menurutnya, tambahan pula sebelum ini suaminya, Abd Razak Ariffin, 53, tidak sihat dan baharu sahaja menjalani pembedahan jangkitan kuman akibat darah kotor.

“Sejak awal tahun bukan sahaja suami tidak sihat tetapi saya turut diuji dengan anak juga. Hampir dua bulan suami tidak boleh berbuat apa-apa kerana sakitnya.

“Sementara anak ketiga, Amyra Natasya Nadia, 11, mengalami masalah usus dan menghidap sakit tonsil yang memerlukan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Selalunya bila tiba hari temu janji jam 7.30 pagi, saya dan Amyra sudah menaiki bas untuk ke Johor kerana kami tiada kenderaan. Jadi siapa yang hendak menjaga dua lagi anak di rumah kalau bukan Alia dan dia terpaksa ponteng sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, bagaimanapun dia sendiri sudah memaklumkan kepada pihak sekolah sebab-sebab anaknya terpaksa ponteng sekolah dengan menunjukkan rekod rawatan dari hospital.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan sempena Program Mahabbah Empower Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di kediamannya semalam.

Artikel Berkaitan:

Pada lawatan itu, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Hisham Abdul Hamid menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan makanan kepada Abd Razak.

Hadir sama wakil Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Zikri Effandy Zainudin dan Timbalan Pengarah Projek Empower ECER, Roslie Zakarya @ Derahman.

Norain berkata, Alia merupakan seorang peserta bagi program latihan akademik Empower ECER yang mendapat tuisyen secara percuma.

Katanya, dia mengakui tidak mampu menghantar anaknya itu ke kelas tambahan meskipun pernah diminta Alia kerana masalah kewangan.

“Dengan bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itulah digunakan untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan anak-anak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!