Dedah identiti 'admin', ambil tindakan tegas: Pemuda Pas

Fadhli Shaari
Fadhli Shaari
A
A
A

PASIR MAS - Pemuda Pas mendesak supaya Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin atau Maza mendedahkan 'admin' laman sosial milik yang telah memuat naik gambar dua anggota Jabatan Amal bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa suspek membakar kereta milik tokoh agama itu pada 22 Mac lalu.

Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan itu penting bagi membolehkan seluruh rakyat mengetahui siapakah individu yang telah memuat naik status berkenaan.

"Orang ramai juga pasti ingin tahu siapa yang begitu berani menggunakan nama Dr Maza sedemikian rupa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 'admin' laman sosial Mufti Perlis itu yang telah memuat naik gambar dua suspek bersama Abdul Hadi.

Terdahulu, beliau menjadi pengerusi majlis Ceramah Badar Al-Kubra Pas Negeri Kelantan di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Meranti malam tadi.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Dr Maza memohon maaf berhubung penyebaran dua gambar suspek yang ditahan polis berhubung kejadian membakar kenderaannya, baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dibuat selepas pengendali laman Facebook Mohd Asri memuat naik gambar suspek dan mengaitkan suspek yang merupakan anggota Jabatan Amal Pas dengan parti itu serta Abdul Hadi.

Menurutnya, perbuatan 'admin' itu amat melampau kerana ia boleh menimbul persepsi negatif kerana kes tersebut masih lagi dalam siasatan polis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau mahu 'admin' itu dipecat setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

"Kita lihat seseorang yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih boleh digugurkan daripada tuduhan apatah lagi yang baru peringkat dipanggil untuk siasatan polis.

"Apa yang jelas, perbuatan "admin" tersebut memperlihatkan seolah-olah anggota Jabatan Amal Malaysia itu sudah bersalah," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Pemuda Pas Pusat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap 'admin' itu.

Katanya, permohonan maaf yang dibuat oleh Dr Maza masih belum mencukupi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden membakar kereta Mufti Perlis pada 22 Mac lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!