Bangun pagi 'jenguk' WhatsApp, baca aduan rakyat
GOMBAK - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan rutin hariannya adalah membaca aduan rakyat yang disampaikan terus kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, selepas bangun tidur perkara pertama yang beliau lakukan adalah membaca aduan yang disampaikan kepadanya, sebelum mencari penyelesaian untuk membantu.
"Telefon saya ini setiap pagi pertama dahulu saya akan semak aduan pengguna yang mereka sampaikan langsung pada saya.
"Setakat ini saya belum terima aduan mengenai harga tiket penerbangan (mahal)," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran semula Hypermarket Giant di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berhubung soal kenaikan harga tiket penerbangan yang mahal ketika tiba musim perayaan.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan GCH Retail Malaysia, Pierre Olivier Deplank dan Pengurus Cawangan Giant Hypermarket Batu Caves, M.Jeffrey Suresh.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berpuas hati dengan peniaga yang menepati skim harga maksimum menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 21 Mei sehingga 19 Jun depan.
Katanya, ini berdasarkan tinjauan yang dilakukannya selama tiga hari ini di tiga buah pasar raya besar.
“Setakat tinjauan sehingga hari ini, saya sangat berpuas hati tentang dua perkara iaitu kepatuhan harga yang tidak meletakkan harga melebihi harga siling dan kedua, pengurangan harga dengan margin yang tinggi.
“Ada item yang saya pergi ke pasar raya, pengurangan (harga) sehingga RM5. Saya juga akan sentiasa berhubung dengan rakan sejawat saya, Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub yang mengawal bekalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!