Pengorbanan demi Ainul Mardhiah
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mungkin terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan namun semua itu terpaksa dikorbankan demi memastikan Ainul Mardhiah yang menderita kanser mulut mendapat rawatan sebaiknya.
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, dia sekeluarga akan berlepas ke London esok malam untuk rawatan doktor pakar.
“Masih tak tahu lagi macam mana perjalanan di sana nanti dan belum boleh tahu tempoh rawatan lagi. Sampai sana nanti baru tahu semuanya.
“Untuk tinggal di sana sepanjang rawatan, Insya-ALLAH dana yang ada mencukupi...soal tempat tinggal nanti akan diputuskan kemudian.
"Terima kasih rakyat Malaysia, kami sekeluarga sangat terhutang budi dan mendoakan ALLAH lipat gandakan rezeki buat anda semua,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ahmad Safiuddin, kos rawatan untuk anaknya sudah mencukupi dan setakat ini Ainul dilaporkan sihat walafiat.
“Jika tak cukup nanti di sana, pandailah saya usahakan. Saya tak mahu susahkan sesiapa lagi. InsyaALLAH ada rezeki kami nanti. Yang penting sekarang ini, Ainul dapat dirawat sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara Ainul Mardhiah, Kharil Fadzly Rosli turut memaklumkan mereka sekeluarga akan bersama menghantar anak saudaranya ke KLIA.
“Penerbangan berlepas dijangka pada jam 11.30 malam dan kami semua berharap Ainul Mardhiah kuat dan cepat sembuh dari rawatan di London nanti.
“Mungkin kami tak dapat beraya bersama kerana mereka berada di perantauan tapi yang penting, Ainul dapat dirawat dan sihat.
“Semoga semuanya dipermudahkan dan jika diizinkan ALLAH, Ainul dan sepupunya dapat beraya bersama tahun depan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Safiuddin berkata, usaha membawa anak tunggalnya itu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di London merupakan satu risiko yang perlu ditanggung.
Namun mereka masih meletakkan harapan yang tinggi agar Ainul Madhiah dapat menjalani kehidupan normal seperti bayi lain.
Beliau berkata, mereka juga dimaklumkan untuk sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku.
“Ini kerana bukan sahaja harapan untuk anaknya itu kembali sihat tipis malah pembedahan yang berkemungkinan dilakukan ke atas anaknya itu juga berisiko tinggi.
"Membawanya menaiki kapal terbang juga berisiko dan sama ada dia dapat menjalani pembedahan atau tidak, kita belum pasti lagi.
“Bergantung kepada ujian Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang akan dilakukan di London kerana keputusan MRI yang dilakukan di sini tidak jelas," katanya.
Derita penyakit kanser mulut dialami Ainul Mardiah yang berusia lapan bulan itu turut menarik perhatian doktor pakar, Dr Nur Amalina Che Bakri yang berusaha berbincang dengan sekumpulan doktor pakar di UK bagi melakukan pembedahan ke atas bayi perempuan itu.
Susulan laporan mengenai Ainul Mardiah, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.
ARTIKEL BERKAITAN Amalina sudah hubungi ibu adik Ainul
ARTIKEL BERKAITAN Melaka bantu kos penerbangan keluarga Ainul Mardhiah ke UK Artikel Penuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!