Curi rantai emas, penjawat awam serah diri di balai polis

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam akhirnya menyerah diri kepada polis selepas mengetahui kegiatannya yang mencuri seutas rantai emas terbongkar menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas di Jalan Hiliran Masjid, di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia 31 tahun dari Kampung Durian Burung, di sini, turut menyerahkan barang kemas bernilai RM20,000 yang dicuri dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, semalam.

Menurut sumber, kehilangan rantai leher emas yang diletakkan di atas dulang pameran hanya disedari pemiliknya selepas berbuka puasa iaitu kira-kira jam 8 malam.

"Difahamkan sebelum itu, kira-kira jam 4 petang, pemilik kedai berkenaan mendapati seutas rantai leher telah tiada di atas dulang pameran, bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa.

"Namun, selepas berbuka puasa, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena sebelum membuat pemeriksaan melalui rakaman CCTV dan mendapati seorang lelaki dikenali mencuri barang kemas tersebut.

"Suspek yang juga antara pelanggan tetap di kedai tersebut sebelum kejadian pernah beberapa kali membeli barang kemas di kedai itu," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, sejurus mengesahkan barang kemas miliknya sudah dicuri suspek, satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, suspek yang mengetahui kegiatannya terbongkar mengambil keputusan menyerah diri di Pejabat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan tangkapan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!