PETALING JAYA - Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat kurier diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap mencabul staf wanitanya, lima tahun lalu. Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membuat keputusan itu terhadap Indraa Izwaan Mohd Yusof hari ini, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. "Setelah mendengar keterangan saksi- saksi, pendakwaan, meneliti eksibit dan hujahan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. "Dengan ini, kamu diperintah membela diri," katanya. Indraa Izwaan, 36, kemudiannya memilih untuk memberi keterangan di kandang saksi selepas diberi tiga pilihan untuk membela diri. Mahkamah menetapkan 21 Jun depan untuk lelaki itu membela diri. Pada 13 Mac tahun lalu, Indraa Izwaan mengaku tidak bersalah mencabul seorang mangsa berusia 33 tahun. Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan lif Blok B, Tingkat 4, Kelana Jaya Business Centre, Jalan SS7/2 dekat sini antara jam 9.50 dan 10 pagi, pada 18 September 2014. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.