Penganggur, samseng terlibat rusuhan di Jakarta

Polis berkata perusuh yang ditahan ialah penganggur dan dibayar untuk merusuh
Polis berkata perusuh yang ditahan ialah penganggur dan dibayar untuk merusuh
A
A
A

JAKARTA - Kebanyakan perusuh yang diberkas pasukan keselamatan semasa kekecohan di tengah Jakarta kelmarin ialah penganggur selain badan dipenuhi tatu.

Jurucakap polis Metro Jaya, Argo Yuwono berkata, siasatan awal mengesahkan mereka dibayar untuk mencetuskan kekecohan beberapa jam selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Indonesia diumumkan.

Katanya, kesemua pencetus rusuhan itu masih ditahan bagi membantu siasatan polis.

"Rata-rata yang ditahan bukan penduduk tempatan. Ada yang datang dari Lombok.

"Mereka diberi sampul surat berisi wang untuk berdemo," katanya.

Menurut Argo lagi, pemeriksaan lanjut mendapati sampul surat berkenaan mengandungi mata wang dolar Amerika Syarikat.

Rusuhan tercetus susulan pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) yang mengesahkan kemenangan Joko Widodo (Jokowi) dalam pilihan raya 17 April lalu.

Agensi berita Antara melaporkan tiga buah hospital merawat lebih 350 penunjuk perasaan yang cedera.

Artikel Berkaitan:

Jokowi mengalahkan pencabarnya, bekas Jeneral Prabowo Subianto dengan memperoleh lebih 85 juta daripada 154 juta undi tetapi Prabowo mendakwa berlaku penipuan besar-besaran dan enggan mengaku kalah.

Agensi pemerhati pilihan raya berkata, tiada bukti mengenai penipuan sistematik dan pemantau bebas berkata pilihan raya itu bebas dan adil.

Kemenangan itu menyaksikan Jokowi kekal sebagai presiden bagi tempoh 2019-2014. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!