MPS nafi kakitangan menyamar tukang masak
SEGAMAT - Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menafikan laporan dari beberapa akhbar tempatan hari ini berhubung penyamaran kakitangannya sebagai tukang masak bagi mencekup individu yang tidak berpuasa.
Yang Dipertua MPS, Mohd Masni Wakiman ketika dihubungi berkata, kenyataan beliau ketika dihubungi akhbar terbabit sebelum ini telah disalahertikan.
“Berita sedemikian tidak benar. Saya tidak keluarkan kenyataan sebegitu dan pegawai penguatkuasa MPS juga tidak ada yang melakukan perkara tersebut.
“Ia adalah di luar bidang kuasa kami untuk mencekup individu Muslim yang tidak berpuasa,” tegasnya.
Tambah beliau, pihak MPS tidak pernah melakukan operasi penyamaran untuk mengintip atau menangkap individu Islam yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana dinyatakan.
“Malah, untuk makluman tiada larangan waktu tertentu bagi peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dalam bulan Ramadan sebagaimana yang terkandung dalam syarat lesen perniagaan.
“Diharapkan ramai dapat memahami penjelasan diberikan ini bagi mengelak salah faham,” katanya.
Terdahulu, akhbar berbahasa Inggeris melaporkan seramai 32 penguatkuasa MPS berkulit gelap telah dipilih menyamar sebagai pekerja kedai makan bagi menangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa.
Kononnya, operasi bersama Pejabat Agama daerah itu telah menetapkan penguat kuasa yang pandai membuat roti canai, teh tarik dan mi goreng mamak untuk menyamar sebagai tukang masak dan pelayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!