'Kembalikan GST untuk pulih ekonomi negara'
SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan kembali cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekiranya ingin melihat kesejahteraan ekonomi negara kembali pulih.
Demikian pandangan disuarakan Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd Ali.
Menurut Muhammad Asri, kebolehan dan kapasiti kerajaan banyak bergantung kepada hasil pendapatan cukai berkenaan.
“Apabila kerajaan yang baharu menarik balik dan membatalkan GST kita semua tahu hasil kerajaan menguncup.
“Sebelum itu RM40 bilion lebih diperolehi (menerusi GST) tetapi apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan kita kehilangan RM20 bilion,” katanya pada program Wacana Sinar Harian ke-110 yang membincangkan tajuk Setahun PH: Cabaran dan Masa Depan Malaysia di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
Tambah Muhammad Asri, kehilangan RM20 bilion selepas GST dihapuskan itu mengakibatkan kewangan negara terjejas dan menyukarkan usaha untuk memulihkan kembali ekonomi dalam tempoh singkat.
“Bagaimana dengan pendapatan yang berkurangan ini kerajaan dapat mewujudkan kesejahteraan ekonomi kepada generasi kita akan datang.
“Perkara ini menjadi persoalan yang cukup besar begitu juga dengan pengurusan institusi kita yang lain,” katanya.
Tambah Muhammad Asri lagi, hampir satu dunia menganggap GST adalah sistem cukai terbaik dan sistematik.
“Kalau kerajaan boleh u-turn bagi polisi dalam beberapa projek mega kenapa tidak bagi GST. Saya rasa kerajaan kalau kita hendak ke depan sistem GST perlu dikembalikan,” katanya.
Ini kerana di situlah punca pendapatan yang kerajaan boleh salurkan untuk banyak program kesejahteraan ekonomi kepada rakyat di negara ini.
SST mula diperkenalkan pada September tahun lalu bagi menggantikan GST yang diisytiharkan pada kadar 0 peratus 1 Jun 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!