Nak pinjam RM35,000 tapi rugi RM68,000
Rembau - Hasrat seorang juruteknik mendapatkan pinjaman untuk tujuan pusingan modal perniagaan lebur apabila dia dipercayai diperdaya melalui pinjaman tidak wujud sehingga kerugian berjumlah RM68,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, kejadian pada 29 April lalu, mangsa berusia 36 tahun terlihat iklan pinjaman peribadi di laman sosial Facebook.
"Mangsa kemudiannya tertarik dengan tawaran berkenaan lalu menghubungi nombor yang tertera seterusnya mendakwa berurusan dengan seorang wanita melalui telefon dikenali sebagai Ivy.
"Selepas sesi rundingan, mangsa berminat membuat pinjaman sebanyak RM35,000 selama lapan tahun dengan bayaran bulanan sebanyak RM507 digunakan sebagai pusingan modal perniagaannya.
"Sebaik persetujuan dibuat, wanita berkenaan meminta salinan kad pengenalan, salinan slip gaji, bil elektrik dan air, kad bank muka hadapan dan belakang, sekeping gambar berukuran pasport, dan proses permohonan akan dibuat," katanya.
Menurut Aibee, mangsa turut dikenakan yuran permohonan serta beberapa pembayaran lain bagi membersihkan senarai CCRIS, CTOS, bayaran guaman dan lain-lain lagi.
"Mangsa yang merasakan tertipu susulan masih belum mendapat pinjaman walaupun pelbagai bayaran telah dibuat bertindak ingin membatalkan permohonan, namun diarahkan untuk membuat bayaran lagi.
"Secara keseluruhannya, mangsa telah membuat transaksi dari 29 April hingga 21 Mei dengan jumlah berjumlah RM68,000," katanya.
Aibee berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Rembau pagi semalam susulan telah terpedaya dengan urusan pinjaman yang tidak wujud.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!