Lima bot, 40 awak-awak Vietnam ditahan
PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima bot nelayan Vietnam bersama 40 awak-awak kerana menceroboh dan mencuri hasil perikanan negara di perairan Terengganu dalam operasi berasingan pada 21 Mei dan 22 Mei lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, dalam operasi pertama pada 21 Mei, tiga buah bot bersama 23 awak-awak warga Vietnam ditahan KM Pekan dari Maritim Negeri Pahang ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.
Beliau berkata, bot-bot tersebut ditahan selepas lima jam dikejar dan pemeriksaan ke atas awak-awak termasuk tekong mendapati tidak memiliki permit yang sah serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Keesokannya (22 Mei) pada kira-kira 8 pagi, KM Pekan mengesan sebuah lagi bot nelayan dalam keadaan mencurigakan dengan penggunaan nombor pendaftaran klon bot nelayan tempatan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan lebih kurang 30 batu nautika dari Kuala Terengganu, katanya.
"Selepas diperiksa, bot yang membawa lima awak-awak termasuk tekong dipercayai telah menggunakan nombor pendaftaran klon kerana nombor enjin bot tidak sama dengan lesen, selain tidak memiliki nombor pendaftaran yang sah serta tidak menghidupkan sistem pemantauan vesel atau vessel tracking monitoring system," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam operasi bersepadu Ops Naga pada 22 Mei pula, katanya KM Siguntang dari Maritim Negeri Terengganu menahan sebuah lagi bot bersama 12 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam selepas didapati menceroboh dan menangkap ikan kira-kira 79 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Mohd Zubil berkata, kesemua lima buah bot bersama 40 awak-awak beserta tekong yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, Ops Pagar yang dilancarkan khusus dalam bulan Ramadan dijangka dapat mengekang aktiviti perlanggaran undang-undang termasuk pencerobohan bot-bot nelayan asing.
Sehingga kini, aset-aset Maritim Malaysia di bawah Ops Naga yang dilancarkan untuk membanteras bot-bot nelayan asing Vietnam telah menahan 17 bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!