'Gugurkan menteri prestasi lemah'
SABAK BERNAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta mempertimbang pandangan pelbagai pihak yang menyarankan mana-mana menteri Kabinet tidak menunjukkan prestasi kerja baik digugurkan daripada jawatan masing-masing.
Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, saranan itu penting bagi memastikan Kabinet negara hanya diterajui pemimpin berkebolehan.
"Perdana menteri perlu mengambil perhatian serius semua pandangan ini untuk menentukan sama ada memberi latihan kepada menteri atau pun menukar kepada individu yang lebih berwibawa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tahlil, Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Ibu Tunggal dan Anak Yatim di Zamita Homestay dan Resort Sabak Bernam di sini, semalam.
Abd Rahman berkata, menjadi pemimpin terbaik kepada rakyat bukanlah diukur dengan sijil pencapaian akademik semata-mata, tetapi bagaimana tanggungjawab itu dilaksanakan penuh amanah dan sempurna.
Menurut beliau, meskipun ada dalam kalangan pemimpin termasuk menteri Kabinet mengemukakan sijil palsu, namun itu bukanlah alasan untuk mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Ada setengah individu boleh jadi pemimpin bukan kerana sijil dimiliki, tetapi mereka boleh menjadi pemimpin terbaik.
"Contohnya ada dalam kalangan jurulatih bola sepak tak pandai bermain bola sepak, tetapi mereka boleh melatih kemahiran mereka ke tahap tertinggi," katanya.
Mengulas mengenai program itu, Abd Rahman berkata, seramai 67 masing-masing ibu tunggal dan anak yatim diraikan pada program berkenaan.
"Walaupun sekarang ini kita duduk dalam kelompok pembangkang, tetapi program tahunan ini tetap diadakan untuk membantu golongan memerlukan," katanya.
Beliau berkata, meskipun jumlah penerima tidak seramai semasa pemerintahan BN, tetapi sekurang-kurangnya kehadiran ini menunjukkan komitmen parti itu membantu rakyat.
"Malah, istimewanya program kali ini, kita dapat berbuka puasa bersama-sama dengan kepimpinan Pas kawasan Sabak Bernam," katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!