Hantar puteri ke sekolah biasa, minta layan seperti pelajar lain
PEKAN - "Saya tidak dapat lupakan Almarhum ketika menghantar puterinya ke asrama, baginda bertitah kepada saya 'buat anak saya macam murid-murid lain yang tinggal di asrama," kata Datuk Fatimah Abdul Rahman, 75.
Fatimah yang merupakan bekas warden asrama di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar Kuantan berkata sikap Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah yang berjiwa rakyat terbukti apabila Almarhum tidak membezakan puterinya yang dihantar ke sekolah harian dengan pelajar-pelajar lain.
Tiga Puteri Almarhum iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah; Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puteri Seri Teja, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah dihantar belajar di Methodist Girl School di Kuantan.
"Ketiga-tiga puteri Almarhum dihantar ke asrama berkenaan bersama dengan pelajar-pelajar lain.
"Jadi saya amat tersentuh hati kerana walaupun seorang raja tetapi Almarhum hantar anak-anaknya sama macam anak-anak orang lain," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Istana Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Fatimah berkata, sikap Almarhum itu jelas menunjukkan baginda adalah raja berjiwa rakyat sehingga tidak membezakan anak-anaknya.
"Sikap mesra yang ditunjukkan Almarhum terhadap rakyat membuatkan baginda disenangi dan disayangi rakyat di negeri ini khususnya.
"Kemangkatan Almarhum merupakan satu kehilangan yang besar buat rakyat, negeri dan negara dan kita berasa amat sedih dan berdukacita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!