Berjuanglah cara demokrasi, elak tindakan ekstrem: Mat Sabu
SUNGAI PETANI - Rakyat di negara ini disaran sentiasa mengamalkan amalan demokrasi berhemah agar tidak terjebak dengan gerakan ekstrem seperti Gerakan negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS).
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, tindakan agresif dalam memperjuangkan hak sehingga menggunakan senjata dalam perjuangan boleh membawa kepada kehancuran negara.
Menurutnya, akibat gerakan ekstrem yang menggunakan senjata dalam perjuangan mereka, hasilnya boleh dilihat dari kehancuran beberapa negara Islam.
"Berjuanglah dengan cara demokrasi, kalau angkat senjata, orang balas dengan senjata, lihatlah kehancuran berlaku di Iraq, Syria, Somalia, Afganistan dan kehancuran juga berlaku di Lybia iaitu negara yang mengeksport minyak tetapi sekarang Lybia mengeksport pelarian akibat pertelagahan sesama Islam.
"Kalau Islam lawan Islam, yang kalah adalah Islam,"katanya semasa hadir ke Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Utara, di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, hari ini.
Beliau dalam masa sama menasihati anak muda agar jangan terpengaruh dengan gerakan ISIS.
"Nak jadi pembangkang, nak lawan, nak demokrasi silakan, tetapi jangan sampai angkat senjata, sebab bila berlaku satu kerosakan, kita nak baiki semula amat sukar," katanya.
Mohamad berkata, sekiranya tidak bersetuju dengan mana-mana pihak termasuk pemerintah, berjuanglah dengan cara demokrasi melalui ceramah, memorandum mahupun tunjuk perasaan tetapi jangan sesekali angkat senjata atau mencipta bahan letupan yang menghancurkan diri dan negara.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada lapan persatuan veteran ATM dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM39,500.
Antaranya, Persatuan Veteran Kor Polis Tentera Diraja Malaysia, Persatuan Kebajikan Veteran 9 Rejimen Renjer Diraja, Persatuan Bekas Perajurit Taiping Perak dan Persatuan Veteran Tentera Batalion ke 22 Rejimen Askar Melayu Diraja Negeri Sembilan.
Turut menerima sumbangan termasuk Persatuan Veteran ATM Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja, Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat) dan Kelab Veteran Satu Rejimen Renjer Diraja Malaysia.
Beliau turut meraikan dan berbuka puasa bersama 31 penghuni dari Asrama Persatuan Anak-anak Yatim Bekas Perajurit dan 800 veteran ATM Zon Utara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!