'Bila malam bunyi mercun makin kerap...'
SHAH ALAM - Dua rakyat Malaysia yang bercuti di Jakarta berdepan detik cemas berhadapan dengan insiden tunjuk perasaan di ibu kota Republik Indonesia itu kelmarin.
Tunjuk perasaan itu berikutan membantah kemenangan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.
Nur Amira Najwa M Jeffri, 20, dan ibu saudaranya, Haslina Mohd Razali, 36, yang menginap di sebuah hotel di Tanah Abang, lokasi rusuhan berlaku terpaksa berkurung di dalam bilik bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Menurutnya, dia tiba di Jakarta pada Ahad lalu dan percutian yang dirancang selama empat hari tiga malam.
"Tapi kami hanya dapat bersiar-siar di sekitar Tanah Abang pada hari Isnin dan Selasa pagi, selebihnya kami hanya duduk dalam bilik hotel.
"Selasa petang semasa nak keluar mencari juadah berbuka puasa, masa tu dah mula ramai orang berkumpul dengan berpakaian putih membawa bendera hijau namun keadaan masih terkawal. Tapi kami ambil keputusan untuk hanya berbuka di hotel sahaja kerana sebagai langkah berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Nur Amira yang berasal dari Melaka berkata, melepasi waktu berbuka puasa pada Selasa, mereka sudah mula mendengar suara penunjuk perasaan menjerit dan bunyi mercun dibakar.
"Suasana itu berlarutan sehingga semalam (Rabu), jumlah mereka yang berhimpun semakin ramai, bunyi mercun semakin kerap malah penunjuk perasaan mula membakar objek-objek di tepi jalan.
"Keadaan jadi semakin tidak terkawal sehingga pihak hotel terpaksa mengunci semua pintu lobi hotel bagi mengelak penunjuk perasan menceroboh.
"Pada waktu malam, lampu di lobi juga dipadam bagi mengelak perhatian penunjuk perasaan. Kami berdua hanya duduk berkurung dalam bilik hotel begitu juga dengan pengunjung lain yang rata-ratanya pelancong asing. Rakyat Malaysia hanya kami berdua di hotel itu," katanya yang ketika dihubungi masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta International Airport menunggu penerbangan pulang ke Malaysia sekitar jam 2 petang semalam.
Nur Amira memberitahu, dia juga mengalami pedih mata dan gatal pada kulit serta tekak susulan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan ribuan penunjuk perasaan yang berhimpun di Jalan Tanah Abang berkenaan.
"Dari bilik hotel boleh nampak, masa itu jumlah penunjuk perasaan sangat ramai, bila keadaan tak terkawal pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan menembak meriam air.
"Duduk dalam bilik pun terkesan dengan gas pemedih mata itu. Rasa takut memang ada dan risau penunjuk perasaan itu bertindak lebih agresif menceroboh hotel namun bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku.
"Menjelang waktu malam jumlah mereka semakin berkurang namun sehingga jam 3 pagi masih lagi kedengaran bunyi mercun dibakar.
"Dan masa bangun sahur pagi tadi (semalam), keadaan dah tenang dan kami keluar dari hotel untuk ke lapangan terbang suasana dah lebih selamat, sampah-sampah dan sisa rusuhan juga telah dibersihkan pihak berkuasa. Cuma bau gas masih ada," katanya.
Nur Amira menambah, walaupun percutiannya ke Jakarta tidak berjalan lancar dan terpaksa berdepan detik cemas penunjuk perasaan, dia tidak berasa ralat berhadapan situasi itu.
"Memang takut dan cemas tapi ini pengalaman baru yang tidak semua orang rasai dan Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku kepada kami," katanya.
Menurutnya, pada Isnin dia ada berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta sebagai langkah keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!