Biasiswa Palestin: Kenapa sekarang tiba-tiba pertikai?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kurang bersetuju dengan tindakan MCA yang membantah kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) di 12 universiti ternama di Malaysia.

Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika simpati dan rasa empati kepada nasib Palestin diluahkan oleh rakyat Malaysia, sikap wakil MCA ini sangat dikesali.

"Soalnya sejak bila negara ini tidak mengambil berat nasib semua kaum, seperti yang ditimbulkan oleh beliau. Malah, beliau mendakwa kaum Cina yang membayar cukai dipinggirkan dalam pendidikan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Beri rakyat Palestin biasiswa, pembangkang tidak puas hati

Beri rakyat Palestin biasiswa, ini langkah belas kasihan

"Setelah sekian lama kerajaan BN mahupun PH menyokong dan membela nasib Palestin yang telah sengsara selama lebih 70 tahun, kenapa tiba-tiba pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin dipertikaikan.

"Mana bukti pelajar bukan Bumiputera pula tertekan di bawah pemerintahan sekarang bila sedikit peluang memperolehi biasiswa diberi kepada pelajar Palestin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi menambah, jelas MCA bersikap hipokrit ketika bersama BN menyokong dasar kerajaan terhadap polisi membantu Palestin namun apabila bukan lagi berada di pihak kerajaan, mempersoalkan pula dasar membantu Palestin.

"Apakah yang pelajar tempatan tidak dapat berbanding pelarian Palestin? Pelajar Palestin dinafikan hampir semua hak manusia oleh regim zionis israel, kini terpaksa menjadi pelarian di seluruh dunia.

"Padahal jika diberi peluang mereka jauh lebih berupaya menyumbang kepada kemajuan negara Palestin dan dunia," tegasnya.

Beliau mempersoalkan kenapa MCA mempertikai pengorbanan kerajaan dan rakyat Malaysia membantu dan memberi peluang pendidikan kepada pelajar Palestin?

"Dimana ruginya Malaysia yang bernasib baik tidak dilanda penjajahan dan perampasan hak, dengan berkorban sedikit untuk membela nasib Palestin ?

"Jelas MCA bersandiwara mengambil cakna soal peluang pendidikan kepada pelajar bumiputera bila ketika turut berkuasa dalam BN tidak pula mempersoalkan bantuan Malaysia kepada Palestin," ujarnya.

Menurutnya, sepatutnya rakyat berbangga dengan biasiswa yang disalurkan oleh kerajaan kepada pelajar Palestin dengan wang cukai yang dibayar kerana ini adalah sumbangan rakyat Malaysia untuk membela nasib Palestin dalam jangka masa panjang.

"MCA jangan cuba meraih populariti murahan dengan membangkitkan dan mempersoalkan isu membantu rakyat Palestin dengan kononnya peka kepada peluang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera untuk mendapat peluang pendidikan," katanya.

Terdahulu, memetik laporan Sin Chew Daily, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga keperluan semua kaum di negara kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!