Cara unik kejut bangun sahur
AMALAN kejut sahur merupakan satu aktiviti zaman silam yang bertujuan mengejutkan umat Islam untuk bangkit bersahur.Ia ibarat sebagai ‘penggera’ atau ‘jam loceng’ kepada masyarakat kampung.
Namun, selari dengan perkembangan teknologi, pendekatan itu sudah jarang dilakukan. Pun demikian, di sesetengah lokasi, praktis itu masih kekal terpelihara.
Menariknya lagi, ia telah dimodenkan seperti yang dilakukan oleh seorang jejaka, Muhammad Latiff Azmi, 22, atau Atip.
Atip yang menjadi tular baru-baru ini memberi perkhidmatan kejut sahur dengan membuat panggilan kepada individu yang berminat. Servis itu telah diiklankannya menerusi laman Twitter sehari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa.
Menerusi entri tersebut, Atip menyenaraikan harga untuk perkhidmatan kejut sahur dengan mengenakan caj RM2 untuk sekali panggilan.
Pakej seminggu pula berharga RM10. Namun yang paling menjadi bualan netizen ialah caj tambahan RM1 sekiranya ada pelanggan mahu dipanggil sebagai ‘sayang’.
Nampak, siapa sangka idea ‘gila-gila' itu membuahkan hasil apabila respons yang diterima begitu menggalakkan.
Bukan sahaja statusnya diulang kicau lebih 26,000 dan 18.8 likes malah dalam tempoh 24 jam, beliau menerima lebih 500 permintaan daripada warga Twitter yang mahu menggunakan servisnya.
“Ya, memang tak sangka. Namun, saya tidak ambil ramai pelanggan, tak mampu rasanya mahu buat panggilan sebanyak itu,” ujar Atip yang turut mengambil pendekatan berborak-borak selama lima minit bagi menghilangkan rasa mengantuk pelanggannya sebelum mereka menikmati juadah sahur.
Menurut Atip, setakat ini beliau tidak menghadapi masalah dengan para pelanggannya.
“Semua memberi kerjasama yang baik. Kebanyakannya dengan dua kali deringan telefon, pelanggan sudah angkat,” katanya yang berjaya mengumpul wang sekitar RM50 pada hari pertama berpuasa.
Selain Atip yang memperkenalkan cara kejut sahur yang unik, Oh! Lelaki menyenaraikan beberapa lagi pendekatan unik lain yang pernah dilakukan di sesetengah tempat:
Guna jet pejuang
Jangan tidak percaya, di Indonesia program kejut sahur mereka menggunakan jet pejuang. Usaha itu dibuat oleh Tentera Udara Indonesia yang menggunakan pesawat pejuang mereka.
Menerusi maklumat di akaun Twitter @_TNIAU, program tersebut dibuat sebagai latihan untuk anggota membuat latihan pada bulan Ramadan.
Antara bandar yang dipilih ialah Surabaya di Jawa Timur, Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah dan Yogyakarta.
Menurut Jurucakap Tentera Udara negara itu, Kolonel M. Yuris, juruterbang pesawat pejuang tidak dibenarkan mengendalikan pesawat ketika berada dalam keadaan paras gula darah yang rendah.
“Ia merupakan satu misi gabungan iaitu membangunkan orang ramai untuk bersahur dan pada masa yang sama mengadakan latihan,” katanya kepada media Indonesia.
Bukan Islam main peranan
Di Jeddah, Arab Saudi, amalan kejut sahur dilakukan oleh orang beragama Kristian.
Gelaran mesaharati turut kepada individu yang secara sukarela berusaha mengejutkan Muslim bersahur.
Pendekatan itu difahamkan telah menjadi tradisi paling lama di beberapa buah negara Arab.
Kejut sahur itu dimulakan pada pukul 2 pagi menggunakan alat muzik tamborin sambil berteriak berulang-ulang untuk mengejutkan umat Islam bangun sahur.
Salah seorang mesaharati, Michel Ayoub, 39, yang berbangsa Arab Israel menjalankan tugas itu dengan gembira meskipun dirinya bukan Islam.
“Saya membesar dengan percaya kepada idea kewujudan bersama, menghormati dan tahu mengenai agama lain,” kata Michael yang mengejutkan masyarakat bersahur di Acre iaitu kota lama di barat laut Israel.
Geng Kejut Sahur Bukit Piatu
Sejak 75 tahun lalu, penduduk Bukit Piatu, Melaka masih terus mempraktikkan amalan mengejutkan orang kampung bersahur.
Mereka menggunakan alat muzik tradisional seperti serunai, gendang anak, gendang ibu, kompang dan gong serta diiringi muzik tradisional.
Kepada mereka yang liat berbangun sahur, dendangan lagu Geng Kejut Sahur Bukit Piatu yang mendendangkan lagu klasik seperti Madu Tiga dan Ali Baba pasti membuatkan sesiapa terjaga.
Cara yang sedikit lebih kurang serupa, sejumlah penduduk Tawau, Sabah yang prihatin akan bermain gitar sambil menyanyi mengelilingi rumah di beberapa lokasi terpilih.
Sementara itu, di Kampung Seberang Sarikei, Sarawak pula, mereka menggunakan tong, kompang dan gendang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!