Kongkang jantan gigit warga emas
ALOR SETAR - Seorang warga emas mengalami kecederaan di bahagian jari kanan akibat digigit kongkang di Kampung Alor Melintang, Jalan Datuk Kumbar, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, seekor kongkang atau nama saintifiknya Nycticebus coucang telah masuk ke dalam rumah dan menggigit pesara guru berusia 65 tahun itu.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar, Leftenan (PA) Mohammad Rizal Abdul Razak berkata, pihak APM Kota Setar menerima panggilan kecemasan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Kota Setar kira- kira jam 8 pagi.
Menurutnya, tiga anggota telah ke lokasi untuk menangkap seekor kongkang tersebut.
"Sebaik tiba di lokasi, kita dapati seekor kongkang jantan telah ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak APM Kota Setar.
"Dalam kejadian ini, seorang lelaki dewasa telah digigit oleh kongkang tersebut dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Mohammad Rizal berkata, orang awam dinasihatkan agar tidak bertindak bersendirian ketika berhadapan dengan haiwan liar itu supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!