Bukukan sikap Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah
KUALA LUMPUR - Seorang pakar warisan dan peradaban Melayu menyarankan agar satu kajian dibuat mengenai sikap dan tingkah laku Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar, Profesor Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia, berkata kajian itu perlu dibukukan agar sifat-sifat Almahrum dapat dijadikan contoh oleh pewaris peradaban Melayu yang bertaraf dunia.
Almarhum juga merupakan raja pemerintah yang berjaya menyelesaikan banyak perkara yang berkaitan dengan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Almarhum memiliki ciri-ciri raja pemerintah yang direstui mengikut kaca mata Islam, mengikut kaca mata Melayu dan berjiwa rakyat dalam kalangan rakyat semua kaum dan agama termasuk bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya dalam program khas Ruang Bicara bertajuk ‘Institusi Raja Melayu: Raja Berjiwa Rakyat’ di Bernama News Channel di sini.
Abdul Latiff berkata Almarhum juga merupakan ketua negara yang begitu cemerlang memimpin institusi Islam melalui peranan baginda sebagai Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang pertama sejak penubuhannya pada 1983.
Di bawah Almarhum, UIAM menjadi institusi pendidikan tinggi terulung di dunia dan berjaya melahirkan lulusan daripada seluruh dunia termasuk negara-negara bukan Islam.
“Baginda mengurniakan tanah untuk membina UIA. Ini satu pengorbanan yang tinggi. Almarhum melihat pendidikan itu penting,” katanya.
Abdul Latiff berkata Almarhum juga mempunyai minat dalam bidang seni dan ini membuatkan baginda rapat dan menghormati penggiat seni.
Selain itu, katanya, Almarhum juga prihatin terhadap nasib anak seni dan sering membantu mereka termasuk mengurniakan pingat dan bintang kebesaran negeri bagi menghargai jasa mereka dalam bidang itu.
“Ini membuktikan Almarhum memang raja berjiwa rakyat yang wajib diteladani dalam peradaban kita,” tambahnya.
Almarhum Sultan Ahmad Shah yang mangkat pada usia 88 tahun dua hari lalu, selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, Pahang semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!