Rebat cukai taksiran untuk pemilik rumah mesra alam
PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Skim Mesra Rebat Cukai Taksiran bagi pemilik rumah mesra alam hijau berkarbon rendah, hari ini.
Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar berkata, skim rebat itu yang memasuki tahun ke lapan penganjurannya dilaksanakan bagi menggalakkan pemilik rumah mengamalkan konsep mesra alam di kediaman mereka.
Menurutnya, MBPJ merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menawarkan inisiatif ini sebagai antara usaha dalam memacu Petaling Jaya sebagai banda raya mampan.
"Selain itu, inisiatif ini juga juga mendapat Anugerah Green Apple pada 2013 malah turut dipilih oleh kerajaan sebagai pilot projek bagi pelaksanaan Projek Green Technology Application for Low Carbon Cities (GTALCC)," katanya ketika berucap semasa majlis pelancaran skim berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat MBPJ hari ini.
Mengulas lanjut, Johary berkata, skim rebat cukai taksiran tersebut ditawarkan kepada pemilik rumah yang menjadikan kediaman mereka mesra alam mengikut aspek seperti tenaga (elektrik atau solar), penjimatan air, pengurusan sampah mengikut konsep 3R dan lain-lain lagi.
Beliau berkata, setiap permohonan akan dinilai oleh panel penilai bebas yang dilantik oleh MBPJ.
"Sekiranya pemilik rumah berkenaan berjaya, mereka akan mendapat rebat cukai maksimum 100 peratus atau RM500 dan rebat ini akan dikreditkan terus dalam akaun cukai taksiran mereka pada tahun hadapan (penggal seterusnya)," katanya.
Dalam pada itu, Johary berkata, sejak pelaksanaan inisiatif ini pada 2011 lalu, terdapat pertambahan penyertaan yang positif ditunjukkan pada setiap tahun.
Ujar beliau, pada tahun lalu, MBPJ menerima sebanyak 600 penyertaan dan jumlah ini dilihat agak besar berbanding pelaksanaan kali pertama program itu di mana hanya sekitar 49 permohonan turut serta.
"Jumlah keseluruhan rebat yang diberikan sepanjang tempoh lapan tahun ini adalah sebanyak RM414,380.48," katanya.
Difahamkan, permohonan skim ini dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 31 Julai depan.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui laman web MBPJ atau di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di tingkat 20, Menara MBPJ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!