Bekas Pengerusi Hamas temui Muhyiddin
PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat daripada Pergerakan Islam Palestin (Hamas) di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Pergerakan itu diwakili bekas Ketua Hamas, Khaled Mishaal bersama lima orang delegasi.
Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Abu-Umar.
Pertemuan tersebut disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Muhyiddin.
Khaled sebelum ini bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Rabu lalu.
Dalam pertemuan bersama Dr Mahathir, Khaled berkata, pertemuan selama sejam itu membincangkan mengenai perjuangan dan keadaan semasa di Palestin.
Khaled yang ditemui wartawan selepas pertemuan itu berkata, Hamas mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas layanan mesra yang diberikan terhadap kehadiran mereka, di samping menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri terhadap sokongannya yang berterusan kepada perjuangan Palestin bagi menamatkan pendudukan Israel di negara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!