Jangan bersekongkol dengan sindiket judi, maksiat: KPN
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk tidak terlibat dan bersekongkol dengan sindiket judi dan maksiat sebelum mereka dikenakan tindakan.
Tegasnya, tiada tolak ansur terhadap mana-mana pegawai yang terlibat dalam rasuah.
"Saya sedang berusaha mengurangkan rasuah dalam pasukan contohnya dalam kes sindiket judi dan maksiat.
"Saya telah beri kata dua tentang perkara ini untuk segera hentikan sebarang connection (hubungan) dengan apa juga sindiket. Kepada tauke sindiket, Malaysia kaya dengan pelbagai sumber, jadi kenapa tidak buat perniagaan yang halal dan tidak melanggar undang-undang.
"Judi ini merosakkan tamadun. Sebab itu saya menentang sekeras-kerasnya. Saya seru pegawai saya, selagi belum pakai baju oren (baju lokap) sama ada di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tangan bergari, semuanya belum terlambat, kita boleh berpatah balik," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 15 Sempena Hari Raya Aidilfitri, di Menara TM, Bangsar, di sini hari ini.
Beliau berkata, ingatlah ikrar sumpah untuk menegakkan undang-undang, usah hanya separuh jalan sahaja dan terpalit dalam perkara yang menyalahi undang-undang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kes samun seorang ahli perniagaan pada Ahad lalu yang dipercayai dilakukan pegawai dan anggotanya, Abdul Hamid menyifatkan itu adalah perkara yang menyedihkan dan tidak bertanggungjawab yang berlaku dalam bulan Ramadan.
Bagaimanapun, beliau berkata tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM memberikan mesej yang jelas kelakuan jenayah oleh pegawai dan anggota polis tidak akan dipandang ringan.
“Kita akan ambil tindakan, jika sebelum ini mungkin kes seumpamanya kita akan rakam keterangan dan kemudian bebaskan dengan jaminan, namun sekarang kita tahan dan reman mereka untuk soal siasat.
"Ini membuktikan kita tidak bertolak ansur dengan sebarang kes biar pun melibatkan warga PDRM sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!