Maritim Malaysia tahan kapal tangki

Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia.
Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki di kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika barat Tanjung Piai, dekat sini, semalam.

Kapal tangki terbabit ditahan sekitar jam 2.40 petang.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, penahanan itu dilakukan oleh sebuah bot peronda Maritim Malaysia.

Menurutnya, ia susulan hasil pemeriksaan dilakukan dan mendapati kapal tersebut disyaki gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal Tangki berdaftar di Malaysia tersebut dikendalikan oleh sembilan kru termasuk Master dalam lingkungan umur 20 hingga 47 tahun.

“Tiga daripadanya adalah warganegara Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang lagi warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapal Saudagar 1952.

Katanya, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maritim Malaysia menasihatkan agar pemilik-pemilik kapal untuk memastikan kapal-kapal milik mereka sentiasa mematuhi undang-undang yang terpakai di Zon Maritim Malaysia.
Artikel Berkaitan:


“Sebarang aduan tentang salah laku atau kecemasan di laut hubungi 999 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!