Yusri mahu pemain kuat mental hadapi TFC II

Yusri mahu barisan pemain Kelantan meningkatkan ketahanan mental apabila menghadapi TFC II dalam aksi Liga Premier di Kuala Terengganu, malam esok.
Yusri mahu barisan pemain Kelantan meningkatkan ketahanan mental apabila menghadapi TFC II dalam aksi Liga Premier di Kuala Terengganu, malam esok.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mahu barisan pemainnya meningkatkan ketahanan mental ketika berdepan Terengganu FC (TFC) II dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Gesaan itu disuarakan Yusri setelah melihat anak buahnya gagal mengekalkan aspek berkenaan sehingga menyaksikan The Red Warriors tewas kepada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dalam dua perlawanan terakhir.

"Dengan keadaan pasukan hanya membariskan pemain tempatan, kekuatan mereka agak goyah terutama bila dalam dua aksi sebelum ini, pasukan lawan dapat menjaringkan gol awal dan ini menyebabkan mereka agak tertekan.

"Saya telah mengingatkan supaya pemain meningkatkan kekuatan mental kerana hanya mereka dapat menentukan apa yang berlaku di atas padang, saya tak mampu lakukan apa-apa kecuali merangka strategi untuk pasukan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pada masa sama, bekas pengendali Kuala Lumpur itu turut mengingatkan pemainnya agar tidak membenarkan skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan mendapatkan gol awal kerana ia bakal menyukarkan mereka untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata, pada pertemuan itu.

"Saya hormati TFC II kerana rekod mereka cukup baik, antara pasukan yang kurang dibolosi dan stabil walaupun hanya menang tipis 1-0 dalam beberapa perlawanan mereka, sebelum ini.

"Jadi, saya mahu pemain lebih berhati-hati terutama dalam tempoh 15 minit pertama dan tak beri ruang kepada TFC II menjaringkan gol awal kerana ia boleh membunuh perjuangan kita," katanya.

Dalam pada itu, Yusri tampak sedikit lega dengan kehadiran semula pertahanan import Brazil, Cassio de Jesus yang pasti dapat memperkukuhkan benteng mereka untuk berdepan pasukan berstatus kelab itu.

Artikel Berkaitan:

"Memang agak lama saya tunggu Cassio untuk kembali beraksi dalam kesebelasan utama dan saya harap kepulangan dia dapat membantu jentera pertahanan berfungsi lebih efektif, selepas ini.

"Apa pun, saya tetap menaruh kepercayaan kepada semua pemain walaupun mungkin tidak ada sesiapa memberi harapan kepada pasukan, setidak-tidaknya kita berusaha tidak tewas di Kuala Terengganu, itu lebih mustahak," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!